suria

Benjy derita asma kronik dan masalah paru-paru… keluar masuk hospital sejak beberapa tahun - “Kami izin jasad dikebumikan di Medan”

Gambar kenangan Benjy bersama dua adik perempuannya.

PEMERGIAN pelakon Benjy di Medan, Indonesia pada Ahad masih mengejutkan ramai pihak khususnya ahli keluarga di Malaysia.

Menurut adik arwah iaitu Elza Irdalyanna, Allahyarham abangnya menghidap penyakit asma yang kronik sejak beberapa tahun lalu selain turut mengalami masalah berkaitan paru-paru dan sering mendapatkan rawatan di hospital sejak kebelakangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Benjy anak Azean Irdawaty meninggal dunia di Hospital Medan Indonesia

"Saya menerima panggilan daripada pihak penjara di Medan pagi tadi memberitahu yang Benjy tidak dapat bernafas akibat sakit tenat asma lebih kurang pukul 11 pagi.

“Pihak penjara membawanya ke rumah sakit di sana tetapi tidak sempat diselamatkan.

"Benjy sudah lama mengalami penyakit kronik asma dan penyakit-penyakit paru-paru lain serta kerap keluar masuk hospital untuk beberapa tahun, ” ujarnya.

adik benjy 1

Perkongsian Elza di Twitter.

Terdahulu, dunia hiburan digemparkan dengan kehilangan aktor Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, akibat penyakit asma.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Royal Prima di Medan, Indonesia kira-kira pukul 11 pagi, Ahad.

Tambah Elza, pihaknya sudah memberi keizinan kepada pihak penjara untuk menguruskan dan mengebumikan jenazah Allahyarham di Medan pada Isnin.

Benjy sudah lama mengalami penyakit kronik asma dan penyakit-penyakit paru-paru lain serta kerap keluar masuk hospital untuk beberapa tahun.

ELZA IRDALYANNA

ADIK BENJY

"Kami sekeluarga mengizinkan pihak penjara Medan mengebumikan jasad di sana dan urusan pengebumian akan dijalankan esok, " katanya menerusi satu kenyataan di laman Twitter.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta Medan Indonesia sebelum Zuhur.

Elza sekeluarga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan bantuan dan sokongan terhadap arwah abangnya selama ini.

"Kami amat berterima kasih dan terharu atas semua bantuan serta sokongan yang diberi setiap pihak selama ini. Harap maklum bahawa Benjy turut menghargai anda semua, " katanya.

adik benjy

Elza turut berkongsikan gambar Allahyarham ibunya, seniwati Azean Irdawaty yang meninggal dunia pada Disember 2013.

Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais republik itu sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada April 2017.

Anak sulung kepada Allahyarham Azean Irdawaty ini disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pada 18 Oktober 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.

Benjy mula dikenali sebagai pelakon sejak zaman kanak-kanak iaitu menerusi filem Perempuan yang diterbitkan pada tahun 1988.

Dia pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun.

Allahyarham pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik (telefilem) pada Anugerah Skrin TV3.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain