suria

Zizi Kirana gementar, gigil lutut mengaji al-Quran depan ustaz - “Semoga jadi ikutan anak muda, artis berani mengaji depan khalayak ramai”

Video Zizi Kirana mengaji dan membaca Al-Quran menjadi tular di media sosial.

VIDEO memaparkan penyanyi Zizi Kirana mengaji al-Quran semasa rakaman program Rahsia Ramadhan yang dimuat naik di aplikasi TikTok menjadi tular dan menerima pelbagai komen positif netizen.

Terkejut dengan reaksi orang ramai, Zizi berkata dia tidak menyangka video berdurasi kurang 60 saat itu menjadi perbualan hangat netizen di media sosial.

"Sejujurnya saya pun terkejut video itu tular, video mengaji itu saya muat naik pada pukul 4 pagi selepas rakaman program.

ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana ajar budak mengaji Al-Quran, amal baca bacaan Yasin setiap malam Jumaat

"Niat saya post di TikTok adalah untuk berkongsi perasaan gementar saya pertama kalinya kena mengaji di hadapan kamera untuk satu program TV.

"Alhamdulillah, semua komen baik-baik dan mereka turut mendoakan saya. Saya tersentuh hati membaca komen-komen itu semua," katanya kepada mStar.

Pada Selasa lalu, video yang dikongsi Zizi di aplikasi TikTok memaparkan dirinya sedang membaca Al-Quran dengan lancar menjadi perhatian ramai.

Rata-rata netizen memuji penyanyi lagu Eh ini yang dilihat tidak kekok membaca Al-Quran dan terpesona dengan kemerduan suaranya bertaranum.

Dalam pada itu, Zizi berharap video itu mampu memberi inspirasi kepada anak muda dan golongan artis untuk turut serta dalam program keagamaan.



Zizi pernah jadi ustazah mengaji selama tiga tahun.

"Kalau video itu memberi mesej positif, Alhamdulillah! Harap boleh jadi ikutan untuk anak muda dan golongan artis supaya kita lebih berani mengaji di khalayak ramai.

"Masih ada yang takut-takut nak mengaji depan TV dan ustaz-ustaz, tak salah untuk kita terus belajar dan memperbaiki ilmu agama.

"Walaupun sebenarnya saya sendiri semasa itu bergeletar lutut nak baca depan orang tapi saya atasi sebaiknya dan saya yakin orang lain pun boleh buat juga," ujarnya.

Menerusi laporan mStar pada 2019, Zizi memberitahu dia pernah bergelar seorang ustazah apabila secara sukarela mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran di kampung halamannya di Sipitang, Sabah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain