suria

'Lailer' dah sebati dalam diri, Riena Diana janggal bawa watak serius - “Harap peminat nampak karakter lain yang saya bawa”

Riena Diana ingin mencabar diri dengan pelbagaikan watak lakonan selepas ini.

PELAKON Riena Diana tidak menafikan sehingga ke hari ini peminat masih lagi memanggil dirinya sebagai Lailer biarpun drama Kampung People sudah lama menamatkan siarannya tahun lalu.

Menurut Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 24, dia berharap dapat move on daripada watak tersebut agar peminat dapat melihat pelbagai lagi karakter lain yang mampu dijiwainya selain daripada watak komedi.

Terbaharu, Riena muncul dengan drama bersiri yang memaparkan realiti kehidupan petugas barisan hadapan berjudul Hadiah Dari Tuhan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lailer' masuk hospital selepas jatuh sakit akibat tak cukup rehat - “Saya bekerja tanpa henti sampai muntah dan lemah”

Menerusi drama itu, Riena membawakan watak lebih serius yang memaparkan kehidupan golongan berpendapatan sederhana dalam berhadapan pandemik Covid-19.

Kali ini saya tak nak peminat ingat watak saya sebagai Lailer, watak itu macam dah sebati dengan diri saya.

RIENA DIANA

PELAKON

"Kali ini saya rasa janggal sedikit bawa watak serius sebab dah biasa bawa watak kelakar.

"Nak lari daripada imej watak gadis bimbo Lailer yang saya pernah bawakan sebelum ini, saya hanya ikut sahaja arahan daripada pengarah drama agar mesej yang nak disampaikan dalam drama ini dapat diterjemahkan dengan baik.

"Kali ini saya tak nak peminat ingat watak saya sebagai Lailer, watak itu macam dah sebati dengan diri tapi saya harap orang nampak juga watak-watak lain yang saya cuba bawakan selepas ini," katanya kepada mStar.

Riena Diana dikenali menerusi watak Lailer dalam Kampung People.

Menceritakan lebih lanjut mengenai proses penggambaran Hadiah Dari Tuhan yang berlangsung sepanjang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada November lalu, Riena akui ada ketika dia berasa sedikit kurang selesa untuk memakai topeng muka namun ia harus dilakukan demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Penggambaran drama ini memang pihak produksi jaga dan ikut SOP dengan ketat.

"Memandangkan drama ini memang menceritakan tentang kisah petugas barisan hadapan, memang kita perlu ikut semua SOP yang ditetapkan agar dapat tunjukkan realiti sebenar kehidupan para frontliners kita sepanjang mereka bekerja dalam tempoh sukar ini.

Hadiah Dari Tuhan memaparkan realiti kehidupan keluarga petugas barisan hadapan.

"Kita bekerja dalam tempoh yang agak lama jadi agak sedikit kurang selesa (pakai topeng muka) sebab susah nak bernafas... tapi itu tidak menjadi masalah buat saya sebab pengalaman yang kita dapat (berlakon dalam tempoh PKPB) amat bernilai untuk dikenang pada masa akan datang.

"Setakat ini, penonton memberikan respon yang baik terhadap drama Hadiah Dari Tuhan, tapi mereka tetap mengaitkan nama saya sebagai Lailer dalam setiap komen yang diberikan.

"Mungkin lepas ini saya kena ambil satu watak yang betul-betul heavy untuk keluarkan imej Lailer itu dari diri saya," ujarnya berseloroh.

Selain Riena, drama arahan Fairuz Loy itu turut dibintangi Amy Mastura, Izreen Azminda, Syafi Tee, Elisya Sandha, Sophia Barakbah dan Ashraf Muslim.

Ia ditayangkan di slot Lestary pada setiap Rabu hingga Sabtu bermula 30 Disember lalu, pukul 9 malam di TV3.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain