suria

Shahriza Mahmud kritikal selepas jangkitan kuman di darah dan paru-paru - “Tekanan darah tak stabil, doktor masukkan tiub bantuan pernafasan”

Suami kepada Shahriza luah rasa rindu kerana masih tidak dapat melawat isterinya yang dalam keadaan kritikal.

SUAMI kepada pelakon Shahriza Mahmud iaitu Saddiq Raffali memberitahu isterinya masih dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada Ahad lalu.

Saddiq, 40, juga meluahkan rasa kerinduan terhadap Shahriza memandangkan pelawat masih tidak dibenarkan masuk di hospital berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahriza Mahmud Hampir Putus Asa Teruskan Karier Lakonan

"Hari ketiga di CCU. Cintaku Shahriza Mahmud masih dalam keadaan kritikal. Doktor sudah mengenal pasti jenis bakteria dalam sistemnya.

"Masih tak dibenarkan melawat dia. Ada lagi pesakit yang belum dapat keputusan ujian saringan Covid di wad ICU/CCU. Saya okey tapi saya sangat rindu awak.



Suami Shahriza berkongsi perkembangan keadaan isterinya di Facebook.

"Saya perlu kuat untuk dia. Kalau bukan saya, siapa lagi?," tulisnya menerusi laman Facebook miliknya pada Khamis.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian netizen dan rakan selebriti yang mendoakan agar aktres berusia 55 tahun itu cepat sembuh.

Sebelum ini, difahamkan Shahriza dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas sehingga menyebabkan dia meracau-racau.

Dalam pada itu, Saddiq memberitahu isterinya dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke Unit Penjagaan Kritikal (CCU) kerana bimbang sekiranya dijangkiti Covid-19.

Tolong teruskan sokongan dan doa anda untuknya.

SADDIQ RAFFALI

SUAMI SHAHRIZA MAHMUD

Menurut Saddiq, doktor mengesahkan isterinya mengalami jangkitan kuman pada darah dan paru-paru.

"Suhu badannya 39.5 darjah selsius dan dia terus ditempatkan di Zon Merah. Pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman pada darah dan paru-paru.

"Itu yang buat dia demam dan meracau. Tekanan darahnya juga tak stabil dan doktor kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan untuk memudahkan dia bernafas," katanya.

Sementara itu, Saddiq juag berkata Shahriza juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 selepas salah seorang penulis yang bekerjasama dengan isterinya dijangkiti wabak tersebut.



Shahriza mengalami jangkitan kuman di darah dan paru-paru.

Saddiq bagaimanapun bersyukur apabila diberitahu isterinya yang juga pelakon drama Monalisa itu disahkan bebas daripada wabak tersebut.

"Mereka biasanya bekerja secara online sahaja, namun mereka ada berjumpa tujuh hari lalu untuk mesyuarat pembahagian tugasan.

"Salah seorang penulis yang terbabit disahkan positif Covid-19, pada keesokannya. Alhamdulillah, keputusan ujian Covid-19 negatif.

"Tolong teruskan sokongan dan doa anda untuknya. Tiada keraguan dalam fikiran saya bahawa dia adalah pejuang. Dia akan berjaya mengatasi perkara ini," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain