suria

Peluang Kedua, Hati dan Belenggu Rindu ciptaan Hael Husaini antara 12 lagu layak ke AJL35

Tiga lagu ciptaan Hael Husaini berjaya mara ke AJL 35.

TIGA lagu ciptaan Hael Husaini iaitu Hati, Peluang Kedua nyanyian asal Nabila Razali dan Belenggu Rindu nyanyian Datuk Jamal Abdillah bersama Wany Hasrita berjaya ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) yang bakal berlangsung pada 7 Februari depan.

Selain itu, sembilan lagi lagu yang terpilih ialah 7 Nasihat nyanyian Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta, Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Semalam (Aina Abdul), Hutang (Floor 88) dan Kau Sakiti (Amir Masdi).

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali terlepas peluang kedua, SFMM35 kekal penyanyi gantian - “Siapa tak sedih... jika nyanyi juga saya akan rehat lebih panjang”

Turut layak, Eh (Zizi Kirana), Gundah (Ernie Zakri), Gila (Kaka Azraff, Loca B, Noki) dan Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter).

Lagu Semalam ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul turut berjaya mara ke pentas AJL 35.

Pengumuman itu dibuat di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) episod ketiga yang bersiaran secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor pada malam Selasa.

Pada episod ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) itu, Hael turut menggantikan Nabila dengan mempersembahkan lagu Peluang Kedua.

SFMM35 telah bersiaran pada dua episod sebelum ini pada 20 dan 21 November sebelum ditunda selepas salah seorang semi finalis iaitu Alif Satar disahkan positif Covid-19.

Lagu Eh nyanyian Zizi Kirana turut melangkah ke pentas akhir AJL 35.

Episod pertama menyaksikan lagu Hati nyanyian Hael Husaini dipilih menjadi lagu terbaik manakala lagu 7 Nasihat dendangan Shiha Zikir bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta pada episod kedua.

Lagu Belenggu Rindu nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita pula dipilih lagu terbaik untuk episod ketiga.

SFMM35 dihoskan oleh Haziq Hussni dan Sherry Alhadad.

Juri profesional yang mengadili separuh akhir kali ini ialah Fauzi Marzuki, Edrie Hashim, AG Coco, Ajai, Helen Yap, Datuk Mokhzani Ismail dan Azmeer selaku ketua juri.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain