suria

Nabila Razali terlepas peluang kedua, SFMM35 kekal penyanyi gantian - “Siapa tak sedih... jika nyanyi juga saya akan rehat lebih panjang”

Nabila Razali tidak dapat beraksi di Separuh Akhir Muzik-Muzik 35.

MASALAH peti suara yang masih belum pulih menyebabkan penyanyi Nabila Razali tidak membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) episod ketiga yang akan berlangsung pada 15 Disember ini.

Penyanyi lagu Peluang Kedua itu mengakui kecewa dan sedih apabila terpaksa melepaskan peluang itu dan menyerahkan tugasan tersebut kepada penyanyi lain.

ARTIKEL BERKAITAN; SFMM35 ditangguh, peminat harap Nabila Razali ada 'peluang kedua' - “Mungkin juga lagu itu mahu dinyanyikan oleh penyanyi asal”

"Saya tidak menyanyi (di SFMM33) disebabkan keadaan peti suara yang tidak mengizinkan. Siapa tak sedih dan kecewa tak dapat menyanyi di pentas berprestij itu, bukannya saya sengaja tidak mahu menyanyi.

Muzik video lagu Peluang Kedua menampilkan penyanyi rap MK K-Clique.

"Kalau degil juga, mungkin dalam jangka masa panjang keadaan peti suara saya akan lebih teruk," kata Nabila kepada mStar.

Nabila ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta jenama minuman kesihatan BeFine yang diadakan di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum ini, Nabila mengumumkan terpaksa menarik diri untuk bertanding di SFMM35 yang sepatutnya berlangsung pada 22 November lalu kerana berdepan masalah kesihatan.

Namun, pertandingan itu ditangguhkan selepas salah seorang penyanyi iaitu Alif Satar yang membuat persembahan pada episod pertama SFMM35 disahkan positif Covid-19.

Bukan saya tidak mahu tapi memang tidak boleh menyanyi seperti disarankan doktor.

NABILA RAZALI

PENYANYI

Susulan masalah peti suara yang dihadapinya, Nabila berkata, dia juga meminta nasihat beberapa rakan artis yang pernah mengalami masalah sama.

Katanya, masalah itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh, malah jika tetap menyanyi dia mungkin perlu berehat lebih panjang.

"Ramai juga penyanyi yang pernah mengalami masalah ini, mereka memberi nasihat sama iaitu berehat tidak boleh menyanyi, berlakon dan bercakap banyak.

"Malah ada yang mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk pulih dan dibenarkan menyanyi. Insya-Allah doakan saya tidak jadi lebih teruk,"

"Saya juga sepatutnya berehat di rumah tapi ada beberapa komitmen kerja yang sudah ditandatangani awal memerlukan saya perlu bekerja," ujarnya.

Nabila dilantik sebagai duta minuman yogurt BeFine pada Rabu.

Sementara itu, Nabila percaya penyanyi yang menggantikannya bakal memberikan satu persembahan hebat dan meninggalkan impak besar terhadap lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu.

"Saya yakin penyanyi itu akan memberikan sepenuh jiwanya untuk persembahan pada malam itu dan ia akan menjadi satu momen yang tidak boleh dilupakan peminat lagu Peluang Kedua," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabila yang dilantik menjadi duta beberapa produk seperti air minuman yogurt BeFine dan makanan tambahan BeauSiti baru-baru ini meluahkan rasa syukur terhadap rezeki dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Alhamdulillah dengan rezeki tidak dijangka dan kepercayaan mereka kepada saya dalam mempromosikan produk sangat saya hargai.

"Insya-Allah saya akan melakukan tanggungjawab ini dengan baik dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak" ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain