suria

Rasa bersalah dan menyesal, Siti Sarah jumpa wakil Orang Asli - “Sampai bila kita nak menghukumnya”

Sarah memohon maaf kepada masyarakat Orang Asli dan menyesali atas perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja.

TIDAK hanya permohonan maaf secara terbuka, penyanyi Siti Sarah membuat keputusan bertemu wakil dan Pengerusi Persatuan Orang Asli, Suhaimi Along di Batu 12 Gombak pada malam, Selasa.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, Sarah, 36, memohon maaf dan menyesali perbuatannya yang tidak sengaja menghina masyarakat tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah tampil mohon maaf kepada masyarakat Orang Asli - “Ianya bukan sesuatu yang disengajakan”

Menurut pemilik nama Siti Sarah Raisuddin, dia juga berjanji untuk membuat surat permohonan maaf secara bertulis kepada komuniti tersebut.



Sarah memuat naik video dia bertemu dengan wakil Orang Asli.

"Sarah nak minta maaf kepada seluruh masyarakat Orang Asli sekiranya Sarah mengores hati. Lebih baik ada tok di depan Sarah untuk wakilkan kepada komuniti Orang Asli.

"Dengan rasa rendah hati, penuh rasa bersalah dan menyesal, saya minta maaf kepada semua komuniti Orang Asli walaupun saya tahu kehadiran saya di sini, malam ini, tidak mencukupi.

"Saya tahu dekat Malaysia ada 18 suku kaum Orang Asli. Insya-Allah saya akan buat surat permohonan maaf secara bertulis melalui wakil persatuan Orang Asli," kata Sarah.

Sarah nak minta maaf kepada seluruh masyarakat Orang Asli sekiranya Sarah mengores hati.

SITI SARAH

PENYANYI

Dalam pertemuan tersebut, Sarah tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika memohon maaf di hadapan wakil Orang Asli.

Sebelum ini, Sarah menjadi mangsa kecaman selepas kenyataannya dalam sebuah video promosi syampu yang didakwa menghina rambut masyarakat Orang Asli tular di Twitter.

Menerusi laporan mStar pada Ahad, isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu tampil memohon maaf secara terbuka atas perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja.



Sarah menangis ketika sesi pertemuan dengan wakil Orang Asli.

Sementara itu, Suhaimi berharap seluruh kaumnya dapat menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka.

"Saya mengharapkan kepada semua Orang Asli menerima suara dan keluhan Siti Sarah. Bukan niat dia. Niat murni dia datang untuk menyuarakan kekesalan.

"Sampai bila nak menghukumnya... harap semua orang terima permohonan maaf dan sama-sama memaafkan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain