suria

Masih koma dan kritikal, ibu rayu pulangkan telefon bimbit Sandra Dianne - “Saat ini dia perlukan doa tulus ikhlas daripada peminat”

Ibu kepada Sandra memberitahu dia sudah tidak lalu makan sejak anaknya kemalangan.

IBU kepada peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne iaitu Nor Syakinah merayu kepada individu yang secara tidak sengaja mengambil telefon bimbit penyanyi itu supaya memulangkannya semula.

Menurut Nor Syakinah, telefon bimbit yang digunakan anaknya itu mengandungi maklumat penting melibatkan urusan kerja dan hal peribadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sandra Dianne kritikal dalam ICU, masih tak sedarkan diri - “Dia sendiri pandu kereta ditemani sepupu”

"Saya merayu kepada mereka yang berada di tempat kejadian kemalangan Sablu lalu, untuk memulangkan semua telefon bimbit anak saya sekiranya ada yang terambil ketika keadaan kelam kabut.



Sandra terlibat dalam kemalangan pada Sabtu lalu.

"Sandra Dianne menggunakan telefon bimbit jenis Samsung S20 Ultra. Ini adalah handphone yang selalu dia gunakan untuk urusan kerja.

"Segala maklumat media sosial, IG, Twitter dia tersimpan di situ selain maklumat sulit yang lain," kata Nor Syakinah.

Nor Syakinah memberitahu perkara tersebut menerusi laman Facebook miliknya pada Rabu.

Menerusi laporan mStar pada Sabtu lalu, Sandra, 26, dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Putrajaya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Sejak beberapa hari ini keadaan emosi saya sangat tidak mengizinkan.

NOR SYAKINAH

IBU SANDRA DIANNE

Difahamkan ketika itu Sandra yang ditemani sepupunya dalam perjalanan ke sesi latihan konsert mingguan Big Stage di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam pada itu, Nor Syakinah mengakui keadaan emosinya tidak stabil dan sudah beberapa hari tidak lalu makan.

Nor Syakinah juga meluahkan rasa kesal apabila foto anaknya ketika berada di ICU dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga tersebar.



Sandra masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

"Sejak beberapa hari ini keadaan emosi saya sangat tidak mengizinkan. Beberapa hari ini saya kurang tidur dan tak dapat nak paksa diri sendiri makan.

"Fikiran saya juga kosong dan tidak dapat fokus. Berita sudah pun disiarkan di link media, pasti ramai yang dah tahu apa yang berlaku.

"Sejujurnya saya sangat tidak gembira dengan gambar yang disiarkan bersama berita tersebut kerana ia disiarkan tanpa mendapat izin daripada saya.

"Sandra tak perlukan publisiti dengan cara begitu, yang dia perlukan saat ini hanyalah doa yang tulus ikhlas daripada peminat," ujarnya.

Sementara itu, wakil syarikat rakaman Sony Music, Vea Norman memberitahu pemilik nama Alessandra Dianne Ampuria itu masih berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di ICU.

"Dia masih dalam keadaan koma sama seperti sebelum ini, kita cuma berharap dia sedar dan kembali pulih," ujarnya.

Artikel Lain