suria

Siti Sarah tampil mohon maaf kepada masyarakat Orang Asli - “Ianya bukan sesuatu yang disengajakan”

Siti Sarah tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana pihak.

SUSULAN isu dakwaan menghina masyarakat Orang Asli, penyanyi Siti Sarah tampil memohon maaf secara terbuka atas perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja.

Menurut Sarah, 36, dia juga sudah menerima permohonan maaf daripada pendandan rambut, Ridzo Okumura yang berkongsi video tersebut tanpa keizinannya sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah kena maki dengan usahawan wanita, dituduh sengaja tutup periuk nasi orang - “Tapi saya tak sebut nama dia”

Pemilik nama Siti Sarah Raisuddin ini juga berharap semua pihak memaafkannya dan meminta isu tersebut tidak lagi diperbesarkan.



Video yang dimuat naik individu tersebut menjadi perhatian.

"Saya ingin jelaskan bahawa saya, Siti Sarah Raisuddin tidak pernah terlintas untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, malah menghormati seluruh masyarakat di Malaysia.

"Sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru saya menerima permohonan maaf yang dibuat Ridzo Okumura yang memuat naik video perbualan kami tanpa mendapat keizinan saya terlebih dahulu sehingga menjadi tular.

"Atas insiden yang berlaku ini juga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Orang Asli.

"Saya amat berharap permohonan maaf saya ini diterima kerana ianya bukanlah sesuatu yang disengajakan. Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir daripada saya," katanya.

Susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan.

SITI SARAH

PENYANYI

Sarah membuat permohonan maaf tersebut menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya iaitu Indigital Sdn Bhd pada Ahad.

Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu menjadi mangsa kecaman selepas kenyataannya dalam sebuah video promosi shampoo yang didakwa menghina rambut masyarakat Orang Asli tular di Twitter pada Sabtu.

Video itu menjadi tumpuan warga maya selepas ia dimuat naik oleh seorang individu menerusi akaun Uncle Barry @fuzirbarry dalam satu hantaran di Twitter.

Dalam pada itu, Sarah memberitahu dia sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang ingin dilakukan terutama perkongsian di laman sosial kerana menyedari segala perbuatannya akan menjadi tumpuan.



Sarah mohon agar isu tersebut tidak diperbesarkan lagi.

Berikutan kontroversi tersebut, Sarah mengakui sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya sebagai selebriti serta usahawan

"Lebih dua dekad berada dalam industri seni tanah air, saya sangat mementingkan etika dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuklah setiap posting yang ingin dimuat naik di laman sosial.

"Saya percaya segala perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat. Namun susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain