suria

Sedar diri tidak hebat berlakon, Ikmal Amry tak berbaju di IG untuk tarik perhatian produksi - “Saya ada bentuk badan yang cantik... itu kelebihan saya“

Ikmal menggunakan kelebihan bentuk badannya untuk tarik minat produksi.

BAKAL bergelar suami tidak lama lagi, pelakon Ikmal Amry memberitahu dia akan mencuba untuk mengelak daripada melakukan babak-babak yang melampau dan mengundang kecaman.

Bagaimanapun Ikmal atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 26, berkata dia tidak mempunyai masalah untuk melakonkan babak tidak memakai baju dengan bersyarat.

Ikmal menyedari bakat lakonannya tidak begitu baik seperti pelakon lain dan terpaksa menggunakan kelebihan bentuk badannya yang cantik bagi menarik perhatian pihak produksi.

"Saya bukan bukanlah seorang yang baik sangat tapi kalau ada babak yang melampau sehingga meminta dikecam, saya akan elakkan. Kalau babak yang perlu buka baju pun, selagi boleh elak... saya akan elak.



Ikmal banyak berkongsi foto dia tidak berbaju di Instagram.

"Tapi kalau scene buka baju itu hanya saya seorang, tak ada masalah pun tapi kalau ada dengan pelakon perempuan saja saya elak. Lagipun, di Instagram pun saya ada tayang badan tapi bukan sebab nak show off atau tarik orang suka.

"Saya kongsikan foto itu sebab saya boleh tunjuk dekat produksi yang saya ada bentuk badan yang cantik. Itu kelebihan saya sebab sejujurnya saya berlakon tak ada la hebat macam pelakon lain," katanya kepada mStar.

Ikmal ditemui ketika sidang media memperkenalkan barisan artis dibawah pengurusan Absolut Management di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Duit saya tak risau sebab saya yakin Allah akan tolong orang nak buat baik.

IKMAL AMRY

PELAKON

Selain Ikmal, tunangnya iaitu Najla juga kini bernaung di bawah syarikat yang sama dengan barisan selebriti seperti Nadiyah Shahab, Oktovia Manrose, Scha Elinnea, Harris Anuar dan ramai lagi.

Ikmal mengikat tali pertunangan dengan Najla pada 26 Mei lalu dan merancang untuk melangsungkan pernikahan pada 19 Disember depan di kampung wanita itu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, pelakon Gantung The Series ini memberitahu dia sudah mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami.



Ikmal dan Najla bakal kahwin pada 19 Disember depan.

"Persiapan saya banyaknnya daripada rohani la. Saya dah mula belajar semula ilmu yang pernah saya pelajari di sekolah maahad tahfiz dan saya cuba belajar macam mana nak jadi seorang lelaki dan suami yang baik.

"Saya banyak kuatkan diri dari segi itu. Duit saya tak risau sebab saya yakin Allah akan tolong orang nak buat baik.

"Saya cuma risau tentang diri sendiri... macam mana nak jaga anak dara orang. Saya pun ada bertanya soal rumah tangga dekat kawan-kawan yang sudah berkahwin," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain