Tiada peserta luar negara, Usop, Qody dan Nana Sheme antara 12 'BBNU' bakal berentap di Big Stage 2020

12 peserta bakal berentap di pentas Big Stage 2020.

PROGRAM realiti nyanyian Big Stage musim ketiga (Big Stage 2020) kembali dengan menampilkan 12 peserta yang diberi jolokan 'Budak Baru Nak Up' (BBNU).

Barisan penyanyi yang bakal bertanding pada pertandingan itu ialah Fadh Majid, Azzam Sham, Hafiz Zainal, Dinie Rashid, Usop, Qody, Yamani Abdillah dan Amir Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarah Suhairi juara Big Stage, bawa pulang RM100,000

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Han Byul juara Big Stage musim kedua

Manakala perserta wanita pula ialah Hanie Soraya, Farisha Iris, Nana Sheme dan Sandra Dianne.

Mengangkat tema Dimensi Berbeza Big Stage 2020 Pada Skala Norma Baharu, musim ketiga kali ini akan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan berikutan negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).



Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah antara juri tetap Big Stage 2020.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, edisi kali ini juga tidak disertai oleh penyanyi dari luar negara seperti musim kedua lalu.

"Pelbagai perubahan dilaksanakan demi mematuhi syarat dan garis panduan SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa antaranya penganjuran konsert mingguan dalam skala kecil dengan jumlah penonton sedikit.

"Jika tahun sebelum ini ada peserta dari empat buah negara iaitu Brunei, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan... namun kali ini tidak dapat membuka ruang perkongsian di peringkat antarabangsa atas faktor keselamatan dan kesihatan bagi menangani krisis Covid-19.

"Pengalaman sebelum ini telah membuka lembaran baharu yang akan menjadi pemangkin kepada semangat kami untuk terus menerbitkan kandungan hiburan berkualiti," katanya.

Sementara itu, tiga ikon muzik tersohor tanah air, Dayang Nurfaezah, Ajai dan Faizal Tahir dilantik selaku juri tetap untuk musim ketiga ini.

Manakala, juri jemputan profesional juga akan diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu untuk turut serta mengadili persembahan.

Dua pengacara popular iaitu Alif Satar dan Sherry Al Hadad diberi tanggungjawab untuk mengemudi pentas utama Big Stage.

Dalam pada itu, tiga selebriti iaitu Neelofa, Caprice dan Michael Ang dipilih menjadi Presiden Netizen yang berperanan memberi pandangan dari mata penonton.

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro dan pemenang tempat kedua serta ketiga pula bakal membawa pulang wang RM50,000 dan RM25,000 serta trofi.

Program Big Stage yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan bermula pada 16 Ogos depan pukul 9 malam.

Ia boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Untuk rekod, Big Stage musim pertama dimenangi oleh Sarah Suhairi dan juara musim kedua pula penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain