suria

Tahniah! Han Byul juara Big Stage musim kedua

Han Byul diumum sebagai juara, manakala Neeta dan Adzrin di tempat kedua dan ketiga.

PENYANYI dari Korea Selatan Han Byul muncul sebagai juara program Big Stage musim kedua yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Han Byul, 29, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi dan sebuah kereta Perodua Axia.

ARTIKEL BERKAITAN: Han Byul, Neeta tepati ramalan ke final… Fieya Julia, Kucaimars tersingkir di Big Stage!

Han Byul menerusi ucapan kemenangannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama peminat sehingga membolehkan dia bergelar juara.

“Kemenangan ini atas sokongan semua yang tak henti-henti memberi semangat sepanjang saya di pentas ini. Terima kasih!,” katanya.

Han Byul membawakan lagu Eminem, Lose Yourself.

Pada pentas akhir itu, Han Byul menyampaikan lagu Lose Yourself nyanyian asal Eminem dan lagu baharu, Luka Dan Bahagia ciptaan Haqiem Rusli.

Dia menerima markah daripada juri dan undian penonton secara online sebanyak 70.33 peratus.

Naib juara dimenangi oleh Neeta dengan markah sebanyak 68.66 peratus dan tempat ketiga oleh Adzrin markah sebanyak 61.99 peratus.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM20,000 beserta trofi.

Manakala, tempat keempat dan kelima menjadi milik Irfan Haris (60.35) dan Dinda Permata (59.63).

Neeta turut memberi persembahan menarik.

Sementara itu, menerusi laman Twitter, rata-rata penonton sudah menjangkakan kemenangan Han Byul berikutan persembahannya tidak menghampakan setiap minggu.

“Tahniah! Persembahan Han Byul sangat bagus, tak ada apa lagi nak di kata sampaikan Misha Omar pun speechless.

“Sedihnya hari ini terakhir dengar Han Byul menyanyi, tiada lagi orang yang akan ceriakan saya setiap malam Ahad. Saya rasa nak menangis!,” komen netizen.

Peringkat akhir itu menyaksikan kesemua lima peserta perlu mendendangkan sebuah lagu pilihan dan single terbaharu mereka.

Neeta selaku naib juara menyanyikan lagu I Wanna Dance With Somebody nyanyian asal Whitney Houston dan lagu baharu berjudul Ruang Mimpi ciptaan Becky Zulkepli.

Manakala Adzrin (All Of Me / John Legend, Picisan / Farouk Roman), Dinda Permata (Simalakama / Yopie Latul, Ku Tak Bisa / Anto Angkasa) dan Irfan Haris (Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta / The Flybaits, Honey / Irfan Haris).

Kesemua peserta dihakimi oleh dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan serta juri undangan Misha Omar.

Keputusan pemenang ditentukan oleh pemarkahan juri dan undian penonton secara online.

Big Stage 2019 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan ia dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Big Stage, Han-Byul

Artikel Lain