suria

Azlan & The Typewriter ragu-ragu nak lancarkan lagu 'Jangan Khianati Aku'

Lagu Jangan Khianati Aku diterima ramai, Azlan & The Typewriter berasa teruja.

SELEPAS agak lama menyepi dari industri hiburan, penyanyi Azlan (Typewriter) kini tampil dengan lagu baharunya berjudul Jangan Khianati Aku.

Azlan berkata, pada awalnya dia berasa ragu-ragu untuk melancarkan single tersebut berikutan trend muzik semasa yang berubah-ubah.

Namun, dia bersyukur pertaruhannya berjaya apabila lagu tersebut mula mendapat perhatian pendengar muzik tanah air.

Azlan muncul dengan lagu baharu.

"Tak sangka, lagu Jangan Khianati Aku ini menjadi satu magik kerana pada awalnya saya rasa ragu-ragu.

"Saya fikir ia tidak mengikut trend semasa, tapi bila saya cuba kaji balik dan mula dengar radio, saya fikir ini masa yang sesuai dan patut dilancarkan segera," ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu, Azlan berterima kasih kepada syarikat rakaman Indigital yang banyak membantu memudahkan promosi lagu berkenaan.

"Alhamdulillah apabila kita dapat bersama dengan pihak Indigital, semua jalan jadi mudah. Kalau saya bergerak secara bersendirian memang agak sukar," katanya lagi.

Dalam pada itu, Azlan turut menasihatkan rakan-rakan yang seangkatan dengannya untuk terus mempertaruhkan karya mereka biarpun industri muzik sekarang lebih memberi tumpuan kepada penyanyi baharu.

"Saya harap sebenarnya penyanyi dan komposer yang sama generasi dengan saya keluar baliklah, marilah kita memeriahkan lagi industri muzik Malaysia," katanya lagi.

Artikel Lain