suria

“Beberapa babak di Jepun terpaksa dibatalkan” - Filem 'Mahathir The Journey' diteruskan meskipun karier politik Tun M masih jadi tanda tanya!

Filem Mahathir The Journey sudah selesai menjalani penggambaran.

KEMELUT politik yang melanda negara ketika ini tidak memberikan kesan kepada perjalanan filem Mahathir The Journey.

Penerbit Reliance Media Group Sdn Bhd, Yusuf Kelana berkata filem tersebut telah selesai menjalani penggambaran dan akan ditayangkan mengikut perancangan asal.

"Kami dan selesai penggambaran dan sekarang ini dalam proses suntingan... walau apa pun berlaku membabitkan karier politik Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), filem ini akan tetap ditayangkan mengikut perancangan awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Marina anggap filem ‘Mahathir, The Journey’ memalukan, penerbit jawab - “Ini bukan kisah Marina”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ada cuba hubunginya tapi…” - Ning Baizura terpaksa guna Youtube kaji karakter Marina Mahathir

"Lagipun filem ini mengisahkan tentang perjalanan karier Tun M selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 2002 sehingga dia mengangkat sumpah menjadi perdana menteri ke-7 pada tahun 2018," katanya kepada mStar.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri (PM).

Surat peletakan jawatan beliau diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seiring perkembangan politik semasa membabitkan Tun M, Yusuf berkata mereka turut memantau situasi terkini dan melihat keperluan untuk menambah fakta baharu membabitkan figura itu jika perlu.

"Kita sentiasa memantau perkembangan terbaharu Tun M... andai kata ada perubahan dalam karier politiknya nanti, kita akan tambah teks pada ending filem itu nanti.

"Buat masa ini kita hanya ikut skrip yang ada dan tiada sebarang perubahan pada jalan cerita kerana latar masa filem ini sehingga Tun M mengangkat sumpah menjadi PM ke-7. Itu sahaja!

Azhar Amir dan Fauziah Latiff bawa watak Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Dr Siti Hasmah.

"Sekarang ini kita dalam usaha untuk dapatkan Tun M untuk penggambaran babak terakhir... Insya Allah kalau diizinkan akan ada kemunculan istimewa Tun M dalam filem ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Yusuf memberitahu penggambaran filem yang sepatutnya di Jepun terpaksa dibatalkan berikutan wabak koronavirus atau Covid-19.

Justeru itu, mereka terpaksa mengubah lokasi penggambaran di Langkawi kerana enggan mengambil risiko yang membahayakan nyawa.

"Kami membatalkan beberapa babak penting membabitkan perdana menteri bersama isteri dan pegawai khas, Sufi Yusof ke Hiroshima selepas meletakkan jawatan pada 2003.

"Mengikut skrip ada empat hingga lima babak penting yang harus dilaksanakan di Hiroshima. Bagaimanapun, kami tidak mahu mengambil risiko," ujarnya.

Filem yang menelan belanja RM6 juta itu turut dibintangi Azhar Amir sebagai Dr Mahathir dan Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Afique Hussain (Mukhriz Mahathir).

Selain itu, Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq) dan Muhamad Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Filem arahan arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan ini dijangka akan ditayangkan pada bulan Ogos bersempena bulan kemerdekaan Malaysia.

Artikel Lain