Bapa dedah perbualan terakhir 24 jam sebelum Ashraf Sinclair meninggal dunia - “Dia nak bawa saya mengembara tak kesampaian”

Tahlil untuk Allahyarham Ashraf diadakan di Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail.

HASRAT Allahyarham Ashraf Sinclair untuk membawa bapanya Mohamed Anthony John Sinclair mengembara tidak kesampaian selepas meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

Anthony berkata, Ashraf meluahkan perkara itu kira-kira 24 jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: “Umi akan kerap ke Jakarta untuk anak tersayang, Bunga dan Noah” - Keluarga kembali ke Malaysia selepas seminggu pemergian Ashraf Sinclair

Aishah menyifatkan Bunga wanita yang tabah.

“Ashraf sempat berhubung dengan saya sehari sebelum pemergiannya, dia cerita pengalamannya yang luar biasa semasa menghadiri satu acara fesyen di New York.

“Malah arwah berkata dia bertemu seorang lelaki Inggeris yang berkongsi pengalaman membawa bapanya bercuti di Scotland, lalu dia pun meluahkan hasrat untuk membawa saya mengembara ke negara itu musim panas tahun depan.

“Namun semuanya hanya tinggal kenangan apabila dia terlebih dahulu pergi meninggal meninggalkan kami,” katanya kepada mStar.

Bacaan Yasin diadakan di Masjid Al-Ghufron, TTDI.

Anthony bersama ahli keluarga Allahyarham ditemui semasa majlis bacaan Yasin, tahlil serta doa selamat untuk Allahyarham Ashraf Sinclair yang diadakan di Masjid Al-Ghufran, Pinggiran TTDI, Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Majlis anjuran TGV Pictures, Primeworks Studios, Infinitus, dan Sunstrong itu dihadiri kira-kira 100 orang tetamu.

Dia meluahkan hasrat untuk membawa saya mengembara ke negara itu.

Mohamed Anthony John Sinclair

BAPA ALLAHYARHAM ASHRAF

Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari lalu di kediamannya di Jakarta akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Bunga Citra Lestari dan anak Noah Aidan Sinclair, 10.

Sementara itu, pelakon dan penyampai radio Aishah Sinclair menyifatkan kakak iparnya iaitu Bunga Citra Lestari seorang yang sangat tabah berdepan ujian ditinggalkan orang tersayang.

Keluarga Sinclair berjanji untuk sering datang ke Jakarta melihat Bunga dan Noah.

Aishah atau nama sebenarnya Aishah Jennifer  Mohamed Anthony John Sinclair, 40, juga menyifatkan balu Allahyarham abangnya itu kehilangan sesuatu yang amat besar dalam kehidupan.

“Bunga merupakan seorang wanita yang sangat kuat dalam menghadapi dugaan hidup, malah dia amat beruntung kerana mempunyai rakan dan keluarga yang sentiasa memberinya semangat untuk terus tabah.

“Saya tak dapat bayangkan bagaimana kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidup, bayangkan kita kehilangan pasangan yang sudah berjanji sehidup semati untuk sama-sama membesarkan anak... ia pasti sesuatu yang sukar," ujarnya.

Ashraf Sinclair

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi