suria

Hina arwah 2 anak lelaki, body shaming Cik B dorong Vida saman Azwan Ali

Vida menuntut Azwan Ali membuat permohonan maaf terbuka susulan beberapa isu yang timbul selepas kemunculannya dalam Karnival Cik B Vaganza Tour 2020, baru-baru ini.

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Vida menuntut pengacara Azwan Ali membuat permohonan maaf secara terbuka susulan beberapa isu yang timbul selepas kemunculannya dalam Karnival Cik B Vaganza Tour 2020, baru-baru ini.

Menurut Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, tindakan Azwan yang menghina fizikal anak perempuannya, Cik B serta dua lagi anak lelakinya yang sudah meninggal dunia dalam kejadian kebakaran disifatkan sebagai perbuatan yang tidak sensitif.

Dakwa Vida lagi, menerusi video yang dikongsi di Twitter, Azwan turut membakar sehelai selendang serta dua botol minyak wangi pemberiannya yang bernilai ratusan ringgit.

ARTIKEL BERKAITAN: Melampau! Vida kesal tindakan Azwan Ali bakar perfume, hina arwah anak - “Nak bayar gapo? Dia sebenarnya tetamu tak diundang”

ARTIKEL BERKAITAN: Dua Anak Pengasas Vida Beauty Maut Dalam Kebakaran, Jenazah Selamat Dikebumi

"Beberapa hari selepas hari karnival, dia telah memuat naik satu video di Twitter. Dalam video tersebut, dia telah membakar selendang dan minyak wangi pemberian ikhlas saya.

"Dalam video itu, dia telah memaki hamun serta menghina bentuk fizikal saya dengan kata-kata kesat gara-gara tidak mendapat bayaran bagi persembahannya pada malam konsert sebelum ini," ujar Vida menerusi satu kenytaaan media.

Namun kata Vida, pihaknya tidak menjemput Azwan membuat persembahan sewaktu karnival yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall pada 23 hingga 27 Januari lalu.

Sebaliknya Azwan hadir kerana dijemput oleh salah seorang pengacara program itu tanpa pengetahuan pihaknya.

"Azwan pada ketika itu merupakan salah seorang usahawan yang menyertai karnival tersebut sebagai vendor. Oleh itu, kami sebagai penganjur beranggapan dia naik ke pentas untuk buat promosi produk seperti vendor-vendor lain," katanya.

Jelasnya lagi, ia berbeza dengan penganjuran karnival sebelum itu yang berlangsung di Shah Alam pada 2019 yang mana Azwan sememangnya dijemput sebagai salah seorang artis yang membuat persembahan, dengan perjanjian tanpa bayaran.

Malah menurut kenyataan itu, kata Vida, Azwan juga bersetuju dengan syarat tanpa bayaran dan hadir untuk memberi kejutan kepadanya.

Selain itu kata Vida, penghinaan fizikal Cik B dan dua anaknya yang sudah meninggal disifatkan terlalu perit untuk diterima.

"Tragedi tersebut merupakan kenangan paling pahit dan sedih bagi saya. Ia juga telah memberikan impak yang besar dalam kehidupan saya yang mana setelah tragedi tersebut saya menjadi murung dan tertekan beberapa bulan.

"Memandangkan Azwan telah menyentuh isu sensitif yang berkaitan dengan fizikal Cik B dan tragedi hitam yang berlaku pada kedua-dua anak lelaki saya, saya tidak akan berdiam diri. Oleh itu, saya mengambil tindakan untuk memfailkan saman malu kepada Azwan kerana memuat naik video tersebut.

"Walaupun keadaan fizikal anak saya sebegitu sekali, tiada siapa berhak untuk mencela fizikal orang lain. Ini bukan soal meraih publisiti atau mencari duit lebih melalui saman ganti rugi malu tapi lebih kepada mengajar warganet supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan internet," jelasnya panjang lebar.

Kata Vida lagi, Islam  juga tidak mengajar kita untuk menghina dan mencaci fizikal orang lain kerana setiap tindakan buruk yang dibuat akan ditanya di akhirat kelak.

Dalam tuntutan itu, Vida mahu Azwan membuat  permohonan maaf secara terbuka dan membuat permohonan maaf dalam media serta menandatangan surat akuan terbuka untuk menarik balik kenyataan dan video-video yang telah dimuat naik ke laman sosial.

Mengakui kesal, Vida berkata Azwan boleh sahaja berjumpa dengannya untuk berbincang mencari penyelesaian, namun dia memilih untuk memuat naik video sedemikian sehingga memaksanya membuat tuntutan undang-undang tersebut.

Dalam pada itu, Vida menerusi peguamnya Tetuan Adnan Seman menuntut Azwan supaya menurunkan kandungan video berbaur penghinaan itu dan memohon maaf secara terbuka menerusi media sosialnya dalam tempoh 48 jam bermula petang Isnin.

Pada masa sama, Azwan turut digesa membuat aku janji untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak benar itu.

“Kita akan keluarkan surat tuntutan 48 jam untuk dia turun content dan buat video kata-katanya itu tidak benar.

“Ini barulah notis awal. Selepas 48 jam tak ada tindakan barulah kita failkan tindakan saman kerana kenyataan itu.

“Kenyataan berbaur penghinaan itu amat memberi kesan kepada psikologi yang sangat mendalam kepada anak guam saya.

“Kita kena tunjuk tindakan saman supaya dia tak sewenang-wenangnya guna perkataan kesat. Kita perlu mendidik masyarakat,” katanya.  






Azwan Ali, Vida, saman, Cik B, fizikal

Artikel Lain