Arja Lee tidak terkesan dilabel badut kerana sertai 'Dansa Dan Sing' - “Mereka tak akan berhenti bercakap...”

Arja Lee tidak terkesan komen negatif segelintir pihak.

PELAKON dan penyanyi Arja Lee tidak terkesan apabila dilabel badut gara-gara menyertai program Dansa Dan Sing yang dianggap kurang sesuai buat selebriti berusia.

Menurut Arja, 37, dia bersetuju untuk menyertai program sebegitu kerana mahu melatih dirinya menjadi seorang penghibur yang serba boleh.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak adik tak sihat” - Arja Lee sedang sakit, terkenang sup ikan merah arwah ibu

“Mereka boleh cakap apa sahaja yang mereka mahu kerana kami sebagai artis yang bertanding hanya melihat sesuatu yang positif.

“Pada saya, program seperti ini dibuat kerana mereka nak cipta penghibur yang serba boleh dan bukan hanya duduk tegak saja. Sambil menyanyi kami perlu pandai menari. Mereka takkan pernah berhenti bercakap perkara-perkara buruk.

Arja Lee dan Shiha antara peserta program Dansa Dan Sing.

“Saya tahu mereka tengok seperti badut apabila melihat yang tua-tua ini beraksi. Yang muda-muda tak badut?” ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai cabaran dalam bersaing dengan artis baharu yang lebih muda, Arja memberitahu, tiada apa yang cuba dibuktikannya ketika bersetuju untuk menyertai program realiti berkenaan.

Kata Arja, dia sebaliknya mahu menimba pengalaman dan mengajar diri untuk bekerjasama secara berkumpulan.

Saya cuma mahu melatih diri untuk bekerjasama secara berpasukan dan hasilkan sesuatu yang berkualiti kepada masyarakat.

ARJA LEE

PELAKON DAN PENYANYI

“Program realiti adalah sesuatu yang sangat dekat dengan saya. Saya pernah join Akademi Fantasia, Gempak Super Star dan kini Dansa Dan Sing.

“Tiada apa yang cuba untuk saya buktikan disini. Saya cuma mahu melatih diri untuk bekerjasama secara berpasukan dan hasilkan sesuatu yang berkualiti kepada masyarakat.

“Sebagai seorang yang sudah lama dalam industri saya tak mahu fikirkan apa-apa melainkan untuk memberikan persembahan yang terbaik,” ujarnya.

Program itu diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza dan ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.

Arja Lee, Dansa Dan Sing

Artikel Berkaitan

Artikel Lain