suria

“Kali ini sakitnya agak serius, kaki bengkak kehitaman” - Bob Lokman dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang

Keadaan kesihatan Bob semakin serius.

KEADAAN pelakon dan penulis lirik Bob Lokman difahamkan semakin teruk apabila dia dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh baru-baru ini akibat masalah buah pinggang.

Berita itu disahkan menerusi  akaun Facebook Dr Riduan Mohamad Nor yang tersebar di laman sosial pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabung oksigen nyawa Bob Lokman, jual nasi ayam kampung minggu depan

ARTIKEL BERKAITAN: Bob Lokman hilang nikmat kerana sombong, isteri pula cabut lari namun syukur... Allah masih sayang

Menurutnya, Bob, 56, yang sedang mengikuti aktiviti jelajah kuliah di Terengganu sepanjang minggu ini telah dikejarkan ke hospital selepas kesihatannya terjejas.

Antara rakan-rakan yang datang melawat.

"Minggu ini dia dalam jadual padat roadshow kuliah di Terengganu, jasadnya sangat lemah dan dibawa ke Hospital UITM, Sungai Buloh oleh kawan-kawan pejabat MB Terengganu.

"Menteri Besar Terengganu pernah menaja penginapan bilik hotel kepada Bob selama sebulan di Terengganu untuk membantu Bob berdakwah.

"Kali ini sakitnya agak serius, kakinya membengkak kehitaman, kesan daripada masalah buah pinggang," tulisnya.

Sebelum ini, Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman pernah dimasukkan ke hospital sama pada 2015 dan kali terakhir pada Januari 2018 akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair.

Setiap kali aku melawat, dia mengerang dengan guratan wajah berkerut kesakitan. 

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Menerusi laporan mStar pada 20 September 2018, Bob memberitahu dia mengambil 13 jenis ubat-ubatan dengan kos berjumlah lebih RM1,000 sebulan.

Dalam pada itu, Dr Riduan meminta mana-mana pihak yang prihatin dapat membantu Bob yang kini mengalami masalah kewangan.

"Setiap kali aku melawat, dia mengerang dengan guratan wajah berkerut kesakitan. Paru-paru dan jantung yang bermasalah, kini ditambah dengan masalah buah pinggang.

Bob masih aktif memberi ceramah walaupun keadaannya tidak mengizinkan.

"Sakit atau sihat Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus menziarahi Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber.

"Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas. 

"Saya merayu teman aktivis untuk menjenguk Bob dan membantu meringankan bebannya kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya untuk perjuangan Islam," ujarnya.

Bob dan isterinya, Relawati Daud, 42, mempunyai lapan anak. Mohamad Adam, 27, (meninggal dunia), Omar Hakim, 26, Ahmad Sufian, 25, Ahmad Rayyan, 14, Nur Amanee, 12, Luqmanulhakim, 11, Muhammad Danial, 8, dan Nur Amalin, 6.

Bob Lokman

Artikel Lain