“Mak adik tak sihat” - Arja Lee sedang sakit, terkenang sup ikan merah arwah ibu - Hiburan | mStar

“Mak adik tak sihat” - Arja Lee sedang sakit, terkenang sup ikan merah arwah ibu

Arja Lee merindukan Allahyarham ibunya, Salmah Aziz yang meninggal dunia pada 2013 akibat kanser.

PELAKON Arja Lee menyentuh perasaan pengikut Instagram miliknya apabila memuat naik video memberitahu dia kini tidak sihat selain merindukan masakan Allahyarham ibunya yang sering dimasak sekiranya dia sakit.

Dalam nada sayu, Arja berkata, sejak pagi Isnin dia mengalami demam, batuk, selesema serta sakit-sakit badan dan sekiranya ibunya masih ada, dia pasti akan dimanjakan dengan makanan kegemarannya.

"Hari ini dapat pakej lengkap, Alhamdulillah... Demam, batuk, selesema dan sakit-sakit badan.

"Mak, adik tak sihat. Kalau mak ada mesti mak dah buatkan sup ayam, nasi putih dan sup ikan merah kegemaran adik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Arja Lee Meninggal Dunia

Gambar kenangan Arja bersama ibunya (kanan) pada hari konvokesyennya di USM.

Ibu Arja, Salmah Aziz meninggal dunia di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2013 selepas 13 tahun menderita kanser lelangit.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 60 tahun.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian lain, Arja sempat berkongsi kisah ketika dia menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan ibunya adalah insan paling gembira pada hari graduasinya.

Dedah Arja, dia memilih universiti itu kerana ingin berada dekat ibunya supaya boleh menjaganya yang sedang sakit.

Arja Lee. 

"Mengapa USM? Sebab mak. Sebab adik nak jaga mak. Mak kan tak sihat. Itu sahaja jawapan jujur saya setiap kali soalan itu diajukan.

"Mak selalu datang USM masak untuk adik, makan dengan kawan-kawan... Mak segar dalam ingatan. Mak bawa kereta sendiri dan sanggup datang jauh-jauh dari Sungai Bakap (Pulau Pinang) sebab nak jumpa adik," ujarnya.

Tambah Arja, sehingga ke hari ini dia masih memegang pesanan arwah yang berpesan agar dia sentiasa menjaga bahasa, diri sendiri selain tidak bersikap sombong kerana perkara itu akan membantunya apabila dalam kesusahan.

"Terima kasih mak. Adik sayang mak. Al-Fatihah buat mak," tulisnya lagi.

Arja Lee

Artikel Lain