suria

Sudah 20 tahun jadi pelakon, Fizz Fairuz terkilan sering dapat skrip dan heroin tak sesuai

Fizz memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian menerusi drama Kamar Kamariah.

PELAKON Datuk Fizz Fairuz mendedahkan pernah berasa putus asa untuk meneruskan kariernya sebagai pelakon berikutan sering mendapat skrip yang tidak kuat.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, berkata, rakan gandingan dalam drama yang tidak sepadan menjadikan drama lakonannya kurang mendapat perhatian. 

ARTIKEL BERKAITAN: “70 peratus pasti, dia orang industri”- Fizz Fairuz mahu heret 'Makcik Puaka' keluar jika tak mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Drama 'Di Sisi' terbitan RTM menang besar ASK2019

“Pernah rasa tak mahu berlakon lagi sebab saya tak pernah dapat skrip yang cukup kuat seperti pelakon lain.

“Sudahlah skrip tak best, pelakon gandingan pun tak best... buat saya jadi kecewa," katanya kepada mStar.

Fizz ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2019 (ASK2019) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Fizz Fairuz pernah putus asa jadi pelakon.

Tambah aktor ini, dia berasa gembira dan bersyukur sekiranya terus mendapat tawaran untuk membawa watak yang berat.

“Saya akhirnya mendapat tawaran berlakon untuk drama Kamar Kamariah, sebuah naskhah yang besar tetapi diepisodkan.

“Saya memang suka bawa watak yang betul-betul jahat. Setakat nak bagi orang sakit hati, menyampah itu memang ‘makanan’ saya. Mudah untuk saya lakonkan watak sebegitu.

“Bidang seni ini luas... saya gembira jika diberikan tawaran untuk berlakon watak yang sebegitu boleh dikembangkan menjadi lebih menarik," katanya.

Saya memang suka bawa watak yang betul-betul jahat. Setakat nak bagi orang sakit hati, menyampah itu memang ‘makanan’ saya.

DATUK FIZZ FAIRUZ

Pelakon

Dalam perkembangan lain, Fizz diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian menerusi lakonan mantapnya dalam drama Kamar Kamariah yang turut memenangi anugerah bagi kategori Drama Rantaian Terbaik Bahasa Melayu (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd).

Suami kepada aktres Datin Almy Nadia ini berkata, dia tidak menjangka kemenangannya pada malam itu selepas gagal meraih apa-apa anugerah dalam tempoh 20 tahun bergelar pelakon.

“Sudah berapa kali saya masuk pencalonan sebelum ini tapi tak pernah menang... dah dekat 20 tahun begitu.

“Sejujurnya saya tak sangka akan menang kerana pesaing kuat adalah Azhan Rani dengan watak ustaz Hamadi itu. Tak dinafikan, drama Nur memang sangat kuat.

“Saya tak pernah letak apa-apa harapan kerana selama saya dalam industri, ini kali pertama menang anugerah ini. Alhamdulillah, kali ini mungkin rezeki saya,” katanya.

Fizz Fairuz, Kamar Kamariah

Artikel Lain