suria

“Tak sukalah” - Zarina Zainuddin tepis kamera wartawan selepas didenda RM17,500

Zarina kurang selesa apabila wajahnya dirakam oleh wartawan selepas prosiding mahkamah.

BERANG wajahnya dirakamkan selepas prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, pelakon Zarina Zainuddin bertindak menepis kamera telefon bimbit milik seorang wartawan yang membuat liputan kes tersebut pada Selasa.

Zarina kemudian menutup wajahnya dengan kertas sebelum beredar dibawa oleh polis mahkamah bagi membayar denda itu.

"Tak suka lah," katanya memetik laporan Harian Metro.

ARTIKEL BERKAITAN: “Produk saya bukan racun dan timbang kilo!” - Zarina Zainuddin dakwa dianiaya, individu desak beli produk sebelum rumah diserbu pihak berkuasa

ARTIKEL BERKAITAN: Zarina Zainuddin dedah jadi isteri kedua kerana simpati suami

Terdahulu ketika prosiding, Majistret M Bharat menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM17,500 selepas Zarina mengaku bersalah atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh dikenakan denda RM3000; pertuduhan kedua (RM2,500); pertuduhan ketiga (RM3,000); pertuduhan keempat (RM2,500), pertuduhan kelima (RM3,000) manakala pertuduhan keenam (RM3,500).

Zarina yang menitiskan air matanya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya.

"Saya sudah menutup syarikat itu dan hanya buat di rumah.

"Saya kini membuat perniagaan lain," katanya.

Zarina kini mengusahakan perniagaan makanan pulut kuning.

Ketika dibacakan fakta kes dan ditunjukkan produk yang dirampas, Zarina dilihat menganggukkan kepala serta mengesahkan barangannya itu.

Zarina didakwa atas pertuduhan menjual satu set kosmetik mengandungi sekotak Addura Black Soap, satu bekas Addura Day Cream (tujuh gram), satu bekas Addura Night Cream (tujuh mililiter).

Dia juga didakwa memiliki tiga set yang sama.

Selain itu, Zarina juga didakwa atas empat pertuduhan memiliki kosmetik yang tidak bernotifikasi iaitu Addura Black Soap (68 kotak), Addura Day Cream (279 bekas), Addura Day Cream tujuh gram (89 bekas) dan Addura Day Cream 10 mililiter (205 bekas).

Zarina sebagai orang kena saman (OKS) didakwa melakukannya di Addura Marketing di Subang Jaya pada 11.45 pagi, 9 Januari lalu.

Bagi semua kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 18A(1) Peraturan peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 18A (15) peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan pertama atau maksimum RM100,000 bagi kesalahan kedua.

Pegawai Pendakwa dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor, Ong Sally memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Zarina.

Menurutnya, ini bukan kesalahan kali pertama wanita itu.

"Ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna.

"Produk tidak bernotifikasi adalah tidak diketahui kandungan dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Bagi melindungi keselamatan orang awam, mohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS," katanya.

Dia yang kelihatan marah beredar bersama seorang lelaki dan dilihat membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Zarina Zainuddin

Artikel Berkaitan

Artikel Lain