Buku dedah kisah hidup Siti Nordiana sebagai ibu tunggal terima Anugerah Buku Negara 2019 - Hiburan | mStar

Buku dedah kisah hidup Siti Nordiana sebagai ibu tunggal terima Anugerah Buku Negara 2019

Siti Nordiana bersyukur buku penulisannya mendapat pengiktirafan Anugerah Buku Negara.

PENYANYI Siti Nordiana bersyukur buku penulisannya iaitu Life Goes On mendapat anugerah Buku Umum Terbaik menerusi kategori Autobiografi di Anugerah Buku Negara 2019 yang berlangsung pada malam Isnin.

Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana, 35, berkata dia mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan buku itu dan semuanya berbaloi apabila diberi pengiktirafan.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat terbitan Buku Must Read yang memberi peluang untuk berkongsi kisah kehidupannya menerusi buku tersebut.

"Alhamdulillah, bersyukur kerana dapat pengiktirafan daripada Buku Negara untuk buku Life Goes On. Saya ambil masa dua tahun untuk siapkan buku ni dan segalanya berbaloi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai seksi lancar album pun tak menjadi, Siti Nordiana berniaga pasar malam


Siti Nordiana mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan buku Life Goes On.

"Saya pula bukan penulis dan bila dapat Anugerah Buku Terbaik satu benda yang sangat besar buat saya yang masih amatur dalam bidang penulisan.

"Terima kasih kepada Buku Must Read kerana memberi peluang kepada saya untuk berkongsi kisah hidup saya menerusi buku ini," katanya kepada mStar Online.

Anugerah Buku Negara 2019 telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Isnin.

Tambahnya, tujuan dia menulis buku tersebut untuk memberi semangat dan inspirasi kepada peminat terutama golongan ibu tunggal sepertinya selain dapat mengenali dirinya lebih dekat.

"Pada asalnya saya tulis buku ni untuk berkongsi semangat. Mungkin ada di kalangan peminat yang nak tahu kisah saya sebelum sertai Gegar Vaganza.

Siti Nordiana tidak kisah sekiranya ada penerbit yang ingin menjadikan kisah kehidupannya sebagai drama atau filem.

"Jadi, buku ni untuk mereka mengenali diri saya lebih dekat dan sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada mereka yang juga ibu tunggal dan selalu patah semangat," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Terus Mencintai memberitahu bukunya pernah dirisik untuk dijadikan sebuah drama namun masih dalam perancangan.

Bagi Siti Nordiana, dia tidak kisah sekiranya perjalanan hidupnya dijadikan drama atau filem selagi ia memberi inspirasi kepada semua orang.

"Mula-mula buku ini keluar memang ada yang merisik untuk dijadikan drama. Tapi masih dalam perancangan. Bagi saya tak kisah pun kalau nak jadikan drama atau filem.

"Asalkan ia memberi pengajaran dan inspirasi kepada orang, saya tak ada masalah. Mungkin kalau drama, skop lebih besar sebab satu Malaysia akan tonton," katanya.

Siti Nordiana , Life Goes On