“Benar saya sudah nikah” - Afiq Muiz mohon diberi masa untuk kongsi hal perkahwinannya dengan Pachara Apin - Hiburan | mStar

“Benar saya sudah nikah” - Afiq Muiz mohon diberi masa untuk kongsi hal perkahwinannya dengan Pachara Apin

Afiq Muiz mengesahkan sudah bergelar suami kepada Pachara Apin pada Selasa. Foto ihsan Eddy Yusman

DALAM diam rupa-rupanya pelakon Afiq Muiz sudah bernikah.

Berita itu disahkan sendiri oleh Afiq Muiz apabila dia sudah bergelar suami kepada aktres baharu, Pachara Apin atau nama sebenarnya Pachara Emmanuel Apin, 28, pada pagi Selasa.

Afiq atau Muhammad Afiq Muiz Azman, 27, berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Bangi, Selangor dan ia dilakukan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat sahaja.

Pelakon drama Air Mata Syurga itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pernikahan mereka buat masa ini.

"Benar saya sudah bernikah pagi tadi (Selasa)... Selebihnya nanti saya kongsi kerana buat masa sekarang tidak sesuai," katanya kepada mStar Online.


Dengan sekali lafaz pasangan ini sah bergelar suami isteri. Foto ihsan Eddy Yusman.

Dalam satu majlis akad nikah, Afiq bergelar suami dengan sekali lafaz dan pihaknya menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada pengantin perempuan.

Pachara berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Antara rakan artis yang menghadiri majlis akad nikah kedua-dua mempelai ialah aktor Beego dan Syafie Naswip.

Sementara itu pelakon Syafie Naswip pula bakal menjadi adik ipar kepada Afiq apabila dia akan mengikat tali pertunangan dengan Aishah Azman pada 7 April depan.

Afiq Muiz

Artikel Lain