“Serik itu tidaklah tapi lebih kepada perit” - Janna Nick - Hiburan | mStar

“Serik itu tidaklah tapi lebih kepada perit” - Janna Nick

Janna tidak serik untuk berlakon dalam drama yang melibatkan ketenteraan.

PELAKON Janna Nick memberitahu dia tidak serik untuk membintangi drama seperti Leftenan Zana namun perlu mengambil masa untuk melakukan persediaan dari segi fizikal, mental dan emosi.

Janna atau Nurul Jannah Muner, 24, berkata sesiapa saja tidak kira artis tetap akan dilayan seperti kadet lain selepas menyertai latihan di kem tentera.

"Serik itu tidaklah tapi lebih kepada perit la. Maksudnya keperitan itu akan ambil masa yang lama untuk melakonkan watak seperti itu semula.

"Tapi bagi saya, kalau nak buat lagi kena ambil masa sikit la. Sebab kita kena betul-betul pastikan dalam keadaan bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesej tidak dilayan, Janna Nick hanya mampu minta ampun pada Allah jika Sheila enggan terima maaf


Janna memegang watak utama sebagai Leftenan Zana.

"Pengalaman saya dapat dari drama ni, tak kisah kita artis atau selebriti yang ada pengikut berjuta-juta, masuk kem latihan kau adalah sama dan akan dilayan seperti kadet-kadet yang lain," katanya kepada mStar Online.

Drama Leftenan Zana arahan pengarah Azman Hj. Yahya dan terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu mula disiarkan pada 8 Februari lalu di Slot Lestary TV3 dan akan tamat pada Jumaat ini.

Ia meraih 10 juta tontonan sepanjang 10 minggu ia bersiaran.

Selain Janna, drama tersebut juga dibintangi oleh Tunku Hanis, Sheila Rusly, Redza Rosli, Zarul Husin, Aprena Manrose dan Idzham Ismail.

Dalam pada itu, Janna menganggap Leftenan Zana merupakan drama paling mencabar sepanjang dia berada dalam bidang lakonan.

Menurut pengacara program Melodi ini, dia pernah hampir putus asa separuh jalan ketika penggambaran disebabkan mengikuti latihan yang telah tersedia.

Janna turut bergandingan dengan Tunku Hanis menerusi drama Leftenan Zana.

Janna turut menyedari tidak mudah untuk seseorang itu untuk menjadi seorang askar dan menyarung uniform tentera.

"Leftenan Zana merupakan drama yang sangat-sangat mencabar sepanjang karier lakonan saya. Sebab kita bukan berlakon sebagai artis tapi kena betul-betul berlatih jadi askar.

"Tak boleh nak mengeluh dan saya juga hampir berputus asa separuh jalan masa jalani penggambaran tu tapi tetap teruskan juga sebab tak nak susahkan pihak lain.

"Latihan tu yang susah. Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang itu menjadi askar untuk menyarung uniform tentera," ujarnya.

Janna Nick , Leftenan Zana

Lebih Artikel