Ani Maiyuni akan dedah bukti anak jadi mangsa buli termasuk mulut disumbat dengan kain - Hiburan | mStar

Ani Maiyuni akan dedah bukti anak jadi mangsa buli termasuk mulut disumbat dengan kain

Ani Maiyuni mendedahkan anak perempuannya Wirda Viviana Zairi menjadi mangsa buli di sekolah. Foto Instagram @ani_maiyuni

LANJUTAN daripada pendedahan Ani Maiyuni berhubung anak perempuannya menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur semalam, pelakon dan penyanyi itu memberitahu akan mendedahkan bukti kejadian itu.

Ani berkata, dia juga berasa lega apabila terdapat beberapa ibu bapa dan pelajar sekolah berkenaan turut tampil memberi kerjasama bagi mendapatkan situasi sebenar kejadian menimpa anaknya, Wirda Viviana Zairi yang berusia 14 tahun.

"Kami memerlukan ruang terutama anak saya... Insya Allah apabila ada kekuatan itu saya akan kongsi berserta bukti-bukti yang mana ada juga ibu bapa turut memberikan kerjasama dan prihatin apabila mereka duduk serta bertanya pada anak mereka tentang kejadian itu.

"Anak-anak mereka mengakui dan turut bersimpati atas apa yang berlaku pada anak saya... Mereka telah bercerita perkara yang sebenar dan itu juga kekuatan untuk kami membuat laporan polis," katanya.

Ani memuat naik status berhubung kejadian menimpa anaknya di Instagram.

Terdahulu Ani atau Aishah An Nur Osman, 41, mendedahkan Wirda didera sekumpulan pelajar hanya gara-gara enggan menceritakan hal peribadi selepas ibu bapa saudaranya melawat dia di sekolah berkenaan pada 28 Februari lalu.

Kata Ani walaupun anaknya sudah bercerita mengenai tujuan kedatangan saudaranya itu mereka tetap tidak berpuas hati sebelum menendang dan menumbuk pinggang anaknya selain menampar serta memukul dadanya.

Lebih pilu kata Ani, mulut Wirda disumbat dengan kain bagi mengelakkan jeritannya didengari oleh warden asrama.

Ani memberitahu dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak kesayangannya itu ketika bertemu dengannya pada 3 Mac lalu selepas menyedari perubahan sikapnya sebelum memujuk untuk menceritakan masalah dihadapinya.

Dalam pada itu, Ani berkata, dia sebenarnya berat hati untuk menceritakan hal menimpa anaknya itu namun berharap ia akan menjadi pengajaran dan beri kesedaran kepada masyarakat mengenai isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Kata ani, dia juga sudah menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan dan berharap keadilan untuk Wirda atas apa menimpanya.

Ani Maiyuni

Artikel Lain