suria

Suria edar 300 beg sekolah bantu murid Tahun 1, Sekolah Kebangsaan Bangsar

Penyampai Suria bergambar dengan pihak sekolah dan murid-murid. Turut kelihatan Fahmi Fadzil (empat dari kanan).

SEMPENA hari persekolahan yang bermula pada Rabu lalu, stesen radio Suria telah mengedarkan 300 beg sekolah kepada murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar melalui program Team Pagi Suria Kembali ke Sekolah.

Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SURIA yang pertama kali diadakan pada tahun ini bagi meringankan beban ibu-bapa yang mempunyai anak untuk memasuki darjah satu.

Program ini melibatkan penyampai Team Pagi Suria iaitu Shahrol Shiro, Issey dan Fizi Ali.

Kehadiran dan gelagat trio Suria ini mendapat perhatian ibu-bapa dan murid-murid yang hadir sebelum sesi sekolah bermula.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi soal jawab, Si Cilik Cerdik, Spelling Bee, menyanyi dan banyak lagi.

Turut hadir ketika sesi penyerahan beg sekolah tersebut adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Kumpulan Radio Star, Dato Aminuddin Rouse.

“SK Bangsar dipilih untuk program ini setelah Suria meneliti senarai sekolah yang mempunyai murid-murid terdiri daripada golongan asnaf dan atas khidmat nasihat daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim),” kata Pengurus Kanan Program Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin.

Menurut DJ Lin lagi, Suria juga dalam perancangan meneruskan aktiviti-aktiviti seumpama ini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan di skala yang lebih besar bukan hanya bertumpu kepada persediaan sebelum sekolah dibuka sahaja.

Program Team Pagi Suria Kembali ke Sekolah ini bukan sahaja mendapat tajaan beg sekolah daripada Mydin, malah turut mendapat tajaan trak makanan iaitu nasi lemak dan air kopi Kanchong Darat by Kopiesatu dan jus buahan-buahan daripada Munira Drinks untuk diberikan kepada ibu-bapa yang hadir menghantar anak pada hari tersebut.

Suria FM

Artikel Lain