suria

“Saya rasa macam diberi satu lagi nyawa” - Suraya Borhan

Suraya menjalani pembedahan buang dua ketulan kelenjar bengkak pada 15 Disember lalu.

PENYAMPAI radio Suria iaitu Suraya Borhan berasa dirinya seakan-akan diberikan satu lagi nyawa apabila doktor mengesahkan dia tidak mengidap sebarang penyakit kanser.

Menurut Suraya, 36, dia telah menjalani pembedahan membuang dua kelenjar yang membengkak di bahagian rahang kanannya pada 15 Disember lalu selepas beberapa hari sakit secara tiba-tiba.

"Pada 15 Disember lalu, saya telah menjalani pembedahan buang dua kelenjar bengkak di bahagian rahang selepas beberapa hari bahagian tepi telinga saya sakit.

"Dah makan ubat pun bengkak masih tak surut. Tu yang terus pergi hospital pakar dan doktor kata kena buat pembedahan buang kelenjar bengkak sebab nak tahu penyakit apa.

Suraya memuat naik foto ketika dia terlantar sakit di hospital selepas menjalani pembedahan.

"Mula-mula itu saya memang risau dan takut kalau ketulan bengkak itu ada kaitan dengan kanser tapi alhamdulillah bila doktor sahkan bukan kanser, saya rasa macam diberi satu lagi nyawa," katanya kepada mStar Online.

Suraya telah dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Damansara pada 12 Disember lalu dan dibenarkan pulang selepas seminggu.

Kata Suraya, doktor mengesahkan ketulan bengkak itu merupakan penyakit yang diberi nama Kikuchi-Fujimoto Disease (KFD).

Suraya akan bertugas semula selepas pulang daripada percutian bersama suami di Korea.

Penyakit itu merupakan kelenjar bengkak yang akan sembuh dengan sendiri mengikut antibodi tanpa memerlukan sebarang ubat-ubatan.

Dalam pada itu, Suraya memberitahu dia akan bertugas semula di konti pada 10 Januari selepas pulang daripada percutian bersama suami di Korea.

"Doktor beri saya cuti sehingga 2 Januari dan kebetulan pula saya ada minta cuti panjang untuk melancong bersama suami di Korea pada hujung tahun ini.

"Jadi, saya akan sambung cuti sehingga 9 Januari dan akan bertugas semula selepas pulang daripada Korea," ujarnya.

Suraya Borhan, Suria FM

Artikel Lain