suria

Hotel di Phuket sanggup sediakan bilik untuk Fizo, rakan tunai solat

Fizo Omar terharu dengan tindakan pengurusan sebuah hotel di Phuket, Thailand yang menyediakan sebuah bilik untuknya dan rakan-rakan menunaikan solat.

PELAKON dan usahawan Fizo Omar melahirkan rasa terharu terhadap pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di Phuket, Thailand yang bermurah hati menyediakan sebuah bilik bagi membolehkan dia bersama rakannya menunaikan solat.

Fizo berkata, pada awalnya mereka bertanya sama ada hotel tersebut mempunyai surau namun apabila diberitahu tiada, pengurus yang bertugas tanpa berfikir panjang membuka sebuah bilik khas buat mereka.

Lebih mengharukan kata Fizo, mereka tidak menginap di hotel berkenaan tetapi pihak hotel tetap ingin membantu walaupun berbeza agama.

"Sekali dia rujuk kepada pengurus dan mereka siap buka satu bilik untuk kami tumpang solat di Patong Beach, Phuket ini.

"Walaupun berbeza agama tetapi mereka tetap menghormati orang lain.

Fizo berkongsi pengalamannya di Instagram.

"Bukan senang hotel bertaraf lima bintang dekat tempat percutian boleh bagi layanan macam ini sedangkan kita bukan tinggal dekat sini pun," katanya di Instagram.

Fizo berada di pulau peranginan itu bagi mengikuti kelas masakan Thailand.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia akan memilih menetap di hotel tersebut sekiranya dia berkunjung ke Phuket pada masa hadapan.

Katanya, apa dilakukan oleh pihak pengurusan hotel itu adalah contoh kebaikan tidak mengenal siapa selain tidak rugi membantu orang lain.

"Tak rugikan sebenarnya? Sudah tentu perjalanan saya ke Phuket selepas ini, saya akan menetap di hotel ini kerana layanan tersebut.

"Jadi tak salahkan kalau kita memberi dulu walau kepada sesiapa pun. Satu hari ia akan datang balik kepada kita tidak kira dengan cara apa pun," katanya.

Fizo Omar

Artikel Lain