suria

Jenazah Ustaz Radzi (Melissa) akan dikebumikan di Jitra Kedah

Jenazah Ustaz Radzi dikebumikan di kampung halamannya. Foto Instagram: @sheilahassan.

BEKAS penyanyi kumpulan rock Melissa, Ustaz Radzi meninggal dunia selepas rebah ketika membuat persembahan di program Hiburan Santai Seniman di Panggung Anniversari pada pukul 11.10 malam, Sabtu.

Menerusi kenyataan di laman Instagram Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), pengurusan jenazah Ustaz Radzi atau nama sebenarnya Mohd Radzi Abdul Hamid, 55, telah selesai dilakukan di Hospital Kuala Lumpur kira-kira 12 tengah hari, Ahad.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sungai Baru, Jitra Kedah untuk dikebumikan di sana.

"Innalillahi Wainna Ilay Hiroojiuun. Jenazah ustaz Radzi kumpulan Melissa (55 tahun) telah siap di bedah siasat dan akan dimandikan dan solat jenazah di surau Hospital Kuala Lumpur dijangkakan pukul 12 tengah hari.

Seniman mengesahkan Ustaz Radzi meninggal dunia pada malam, Sabtu.

"Kemudian akan dibawa ke kampung halaman beliau di No. 35, Kg Sungai Baru Jitra Kedah dan dikebumikan di situ. Al-Fatihah," tulisnya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan pengacara program anjuran Seniman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dj Kzie Ahmad di laman Facebook, Allahyarham hanya berada beberapa saat di atas pentas sebelum rebah dalam keadaan bersujud.

"Dia terus dibawa ke bilik persalinan untuk diberikan rawatan kecemasan.

"Sementara menunggu bantuan perubatan, beberapa ahli jawatankuasa Seniman termasuk anaknya turut memberikan bantuan.

Pentas terakhir Allahyarham membuat persembahan.

"Apabila ambulans tiba, rawatan diteruskan namun Allah lebih menyayanginya dan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat kekurangan oksigen," katanya.

Ustaz Radzi menjadi artis terakhir mengadakan persembahan bersama rakan lamanya dalam kumpulan Melissa.

Selain lagu Cinta Untuk Nabila, Melissa turut popular dengan lagu Lambaian Sayonara, Wajahmu Di Mataku, Memikat Cahaya dan banyak lagi pada era 1990-an.

Ustaz Radzi

Artikel Lain