suria

“Memang tuju pada penipu tu!” - Elizabeth Tan

Elizabeth Tan tampil dengan single terbaharunya berjudul Police Entry.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Elizabeth Tan tidak menafikan lagu terbaharunya berjudul Police Entry ada kaitan dengan kisah percintaannya dengan seorang pemuda Melayu sebelum ini.

Elizabeth berkata, dia turut berharap individu tersebut mendengar lagu itu kerana ia memang mendedikasikan kepadanya yang disifatkan sebagai penipu.

“Lagu ini walaupun bukan saya yang hasilkan tetapi memang ada kaitan dengan bekas teman lelaki saya sebab dia seorang penipu!

“Kalau dia nak terasa, biarkan... Kerana dia tahu apa yang telah dia lakukan terhadap saya sebelum ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Mata Elizabeth Tan Menitis Kerana Dia

Elizabeth mengakui lagu baharunya ada kaitan dengan percintaannya sebelum ini.

Elizabeth ditemui pada majlis pelancaran single itu yang diadakan pada Khamis.

Police Entry adalah hasil ciptaan sepenuhnya Ezra Kong dan Hael Husaini manakala muzik videonya diarahkan oleh Elizabeth sendiri.

Bagaimanapun kata Elizabeth, itu bukan bererti dia masih menyimpan dendam terhadap lelaki itu sebaliknya bahagia dengan kehidupannya kini.

“Saya berada dalam keadaan paling baik dalam hidup sekarang, saya sibuk berlakon dan kini ada lagu baru.

Elizabeth gembira dapat bekerjasama dengan Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Apa yang berlaku sebelum ini banyak beri pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati,” jelasnya.

Pada tahun lalu, Elizabeth pernah mendedahkan dia berada dalam keadaan kemurungan akibat perpisahan itu sehingga pernah terlintas untuk mengambil nyawanya sendiri kerana berasa terlalu tertekan.

Bagaimanapun, dia bersyukur cepat tersedar dan mula mendapatkan bantuan daripada keluarga dan sahabat selain terapi bersama ahli psikologi untuk kembali berdiri dan meneruskan kehidupan.

Bercakap mengenai Police Entry, Elizabeth berkata, lagu itu mengambil inspirasi daripada lagu permainan kejar mengejar dikenali sebagai 'polis sentri.

Elizabeth mengarahkan sendiri muzik video Police Entry.

Kata Elizabeth, dia tertarik dengan lagu dihasilkan oleh Hael dan Ezra itu kerana ia mempunyai melodi yang mesra pendengar selain liriknya yang 'catchy'.

"Saya beruntung sebenarnya dapat bekerjasama dengan Hael dan Ezra kerana gabungan mereka berdua sangat kreatif.

"Tambahan pula saya sudah setahun tidak tampil dengan sebarang lagu baru jadi Police Entry saya kira sangat sesuai dengan saya.

"Lagunya yang 'catchy' tambahan pula liriknya yang menangkap halwa telinga, saya berharap ia akan dapat perhatian pendengar," katanya.

Elizabeth Tan, Police Entry

Artikel Lain