Selepas 8 tahun, Amyra Rosli potong rambut paras bahu - Hiburan | mStar

Selepas 8 tahun, Amyra Rosli potong rambut paras bahu

Amyra Rosli lebih selesa dengan imej berambut pendek.

SEJAK muncul menerusi Nur nama Amyra Rosli menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat yang memuji lakonannya dalam drama bersiri itu.

Sejajar dengan kemunculan semulanya selepas melahirkan anak, Amyra memberitahu dia mengambil keputusan untuk memotong rambutnya ke paras bahu bagi mendapatkan imej lebih segar sesuai dengan peranannya sebagai seorang ibu.

"Hampir lapan tahun saya bergelar pelakon, ini adalah kali pertama saya memotong rambut sependek ini.

"Sayang juga hendak potong tetapi saya pun dah kembali aktif, jadi saya mahu tampil dengan imej lebih segar.

"Alhamdulillah saya dapat keberanian itu tambahan pula lebih sesuai imej begini apabila sudah bergelar ibu, senang nak diurus," ujarnya.

Amyra bersama suami, Amar Baharin dan anak mereka, Aqeef Anaqi.

Dalam pada itu, Amyra berkata, sebelum ini dia enggan memotong rambutnya kerana bimbang ia akan menggangu tawaran berlakon.

"Bukan apa, sebelum ini saya takut hendak potong kerana bimbang tak dapat menyesuaikan dengan watak diberikan oleh pihak produksi.

"Tetapi sekarang ia bukan lagi masalah... lihat sahaja Nabila Huda, Janna Nick mereka semua berambut pendek tetapi karier tetap berjalan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Nur, Amyra berkata, dia tidak menyangka ia akan mendapat sambutan luar biasa penonton walaupun dia sudah dapat merasakan ada sesuatu istimewa mengenai drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu.

Drama Nur melonjakkan nama Amyra Rosli.

"Jujurnya saya belum bersedia untuk kembali berlakon sebab baru dapat anak tetapi apabila terima tawaran Nur saya jadi tertarik sehingga minta sinopsis dan segala berkaitan dengan Nur.

"Ada sesuatu istimewa mengenainya yang saya tidak boleh berkata tidak dan Alhamdulillah saya bersyukur kerana bersetuju menerima tawaran ini.

"Lama saya tidak berlakon kerana hamil dan bersalin... Nur adalah seperti drama kemuncaulan semula saya dalam industri lakonan," katanya.

Nur yang sedang ditayangkan di TV3 turut membariskan pelakon seperti Syafiq Kyle, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Azhan Rani dan Nurkhiriah.

Ia ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, 10 malam.

Amyra Rosli , Syafiq Kyle , Nur

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan