suria

Ben Amir tumpang tuah wajah Syed Saddiq

Ben Amir (kiri) dikatakan berwajah seiras dengan Syed Saddiq.

PELAKON Ben Amir mengakui dia mendapat lebih perhatian apabila wajahnya dikatakan seiras dengan Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman.

Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir bin Sabaruddin, 28, berkata, orang ramai mula menyedari persamaan itu selepas Syed Saddiq.
memenangi Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) lalu.

"Sekarang ini memang ramai yang komen, hantar mesej peribadi dan ketika berjalan di luar pun orang akan tegur wajah saya seiras Syed Saddiq.

"Sebelum ini juga sudah ada yang perasan cuma ketika itu Syed tidak popular seperti sekarang. Saya tidak rimas dan okey sahaja kerana ia memberi kelebihan kepada saya juga," ujarnya.

Ben menjalani penggambaran Air Mata Di Bumi Matador di Sepanyol.

Dia ditemui pada majlis pelancaran drama Air Mata Di Bumi Matador yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), pada Selasa.

Dalam pada itu, pelakon drama Semusim Rindu ini menganggap perkara tersebut sebagai kontroversi positif dan tidak memburukkan mana-mana pihak.

"Ia salah satu kontroversi yang baik untuk diri saya juga. Saya tidak kisah kerana Syed seorang yang bagus dan berpersonaliti baik.

"Namun, saya belum pernah jumpa dia lagi," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang drama Air Mata Di Bumi Matador, Ben berkata, ia merupakan watak paling mencabar dirinya sebagai pelakon.

Ben bersama Eyka Farhana dalam drama Air Mata Di Bumi Matador.

Katanya, banyak adegan yang berat dan memerlukan dia bermain dengan emosi.

"Saya terkejut baca skrip kerana banyak babak yang berat, saya perlu bergaduh, menangis dan sedih setiap hari.

"Paling susah apabila pengarah mahu saya keluar air mata sebelah kiri, saya perlu benar-benar menjiwai dan tidak mahu menggunakan Eye Mo," ujarnya yang menjalani penggambaran tersebut di Sepanyol.

Drama Air Mata di Bumi Matador akan mula bersiaran mulai 30 Mei ini, setiap Rabu dan Khamis jam 8.30 malam di saluran TV2.

Drama 26 episod itu turut dibarisi pelakon seperti Puteri Aishah, Nazrief Nazri, Shakilla Khoriri, Eyka Farhana dan Arash Mohamad.

Ben Amir, Syed Saddiq

Artikel Lain