suria

Lufya diugut individu dari Iran

Instagram Lufya Omar.

PETALING JAYA: Pelakon Lufya Omar memberitahu dia berhadapan dengan pengalaman buruk apabila telefon bimbitnya digodam individu tidak bertanggungjawab.

Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar berkata, perkara itu dipercayai dilakukan oleh individu dari negara luar yang berjaya memasuki e-mel dan akaun Instagramnya pada Februari lalu.

"Bulan lalu telefon bimbit saya digodam sehingga e-mel dan Instagram saya boleh dimasuki oleh pihak tersebut. Individu itu mengaku berasal dari Iran dan menghubungi saya untuk meminta wang jika mahu semua maklumat dan akaun Instagram saya semula.

"Dia minta saya membayar USD1,000 dan jika saya tidak bayar dia buang gambar dan pengikut Instagram saya," ujarnya kepada mStar Online.

Lufya ditemui pada majlis pelancaran Projek Squad Celebrity Global Volunteers yang diadakan di Royale Chulan, di sini, Selasa.

Lufya bakal sertai misi kemanusiaan.

Sementara itu, Lufya memberitahu perkara berkenaan terjadi mungkin disebabkan tindakannya menggunakan Wi-Fi awam.

Pelakon drama Umairah itu berkata, dia sudah membuat laporan polis berkaitan perkara berkenaan.

"Saya sudah buat laporan polis bagi melindungi keselamatan. Setakat ini gambar saya di Instgaram semua sudah dibuang.

"Pengikut Instagram pula lebih separuh juga sudah hilang gara-gara saya tidak ikut permintaannya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lufya bersama 11 rakan selebriti bakal menyertai misi kemanusiaan ke empat buah negara iaitu Malawi, Bosnia, India dan Filipina pada hujung bulan ini.

Lufya Omar

Artikel Lain