suria

Mus (May) Muncul Dalam Konsert Selepas Koma

Mus akui staminanya menurun disebabkan jatuh sakit tahun lalu. Foto: SHAARI CHEMAT.

BAGI yang merindui vokalis May, penyanyinya iaitu Mus akan membuat kemunculan selepas enam bulan berehat setelah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) termasuklah diletakkan dalam keadaan koma.

Konsert Rock Legend 2018 yang akan diadakan pada 5 Mei depan membuktikan keupayaan Mus walaupun dia sebelum ini hilang tenaga akibat deman panas yang dialaminya.

Namun Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 50, berkata dia kembali pulih selepas enam bulan berehat.

"Saya sakit bulan Julai tahun lalu dan kalau ikut nasihat doktor, dalam masa enam bulan saya boleh sihat sepenuhnya.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah okey. Cuma mungkin tenaga ada sedikit menurun tidak seperti dahulu. Mungkin kesan selepas sakit," kata Mus kepada mStar Online.

ARTIKEL BEKAITAN: “Kenapa Dengan Saya?” - Mus May


Kesihatan Mus semakin baik.

Mus ditemui ketika sidang media Konsert Rock Legend 2018 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Rabu.

Biarpun Mus tidak lagi membuat sebarang pemeriksaan lanjut namun dia akan melakukan senaman seperti berjoging untuk kekalkan stamina.

"Kali terakhir buat pemeriksaan lanjut pada Januari lalu dan kini tak ada buat sebarang pemeriksaan.

"Sejak saya mula menceburi bidang muzik ini memang dah biasakan melakukan senaman seperti berjoging untuk kekalkan stamina.

"Bukanlah setiap hari tapi dalam sebulan itu kena ada lakukan senaman. Paling malas pun, dua atau tiga kali kena buat," ujarnya.

Konsert Rock Legend menggabungkan dua band iaitu May dan Prime Domestic.

Sebelum ini, Mus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan diletakkan dalam keadaan koma akibat demam panas pada 3 Julai tahun lalu.

Hasil daripada pemeriksaan, Mus mengalami antibodi badan yang lemah dan kekurangan enzim dalam darah.

Dalam perkembangan lain, kumpulan May bakal berkongsi pentas bersama Prime Domestic di Konsert Rock Legend 2018.

Konsert tersebut akan diadakan di Pintu 2, MAEPS, Serdang, Selangor pada 5 Mei depan pukul 8 malam.

Tiket berharga RM120 (rock zone), RM180 (5.1 surround zone) dan RM68 (G zone) boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com, www.dreamstageconcert.com atau menghubungi talian 03-2170 6333.

Artikel Lain