suria

Mansor Puteh Dihalang Bentang Kertas Kerja

Mansor Puteh yang kini berada di Amerika Syarikat sepatutnya membuat pembentangan kertas kerjanya di sebuah universiti di negara itu. Foto Facebook MANSOR BIN PUTEH

KUNJUNGAN pengkritik filem kontroversi Mansor Puteh ke Amerika Syarikat bagi membentangkan kertas kerjanya tentang perfileman gagal apabila dia dihalang daripada berbuat demikian.

Mansor memberitahu pada awalnya dia mendapat kebenaran untuk mengadakan sebuah acara dipanggil Four Film from Malaysia di sebuah universiti di Illinois pada 1 Oktober lalu namun ia dibatalkan.

"Adakah saya pemegang biasiswa Malaysia pertama dihalang daripada bercakap di universiti di Amerika? Nampaknya begitulah.

"Saya menganggap ia sebagai satu kejayaan yang tidak pernah saya terfikir untuk dapat dan saya mesti sudah lakukan sesuatu yang mengagumkan untuk mendapat kemasyhuran itu.

"Siapakah agaknya pemegang biasiswa dari Malaysia yang akan dilarang daripada bercakap di universiti di Amerika selepas ini?" ujarnya kepada mStar Online menerusi satu kiriman e-mel dari negara itu.

Mansor sepatutnya membentangkan kertas kerja bertajuk mengapa Pawagam Asean Gagal Membangun?  pada acara tersebut.

Dalam pada itu, Mansor memberitahu punca dia dihalang membuat pembentangan itu kerana ada pihak berasa tersinggung keterbukaannya bercakap mengenai pergolakan di negara Timur Tengah di laman Facebook miliknya.

Kata Mansor, pihak universiti itu memberitahu ada pihak melaporkan mengenai tulisan itu di Facebooknya dan menyifatkan dirinya sebagai anti Yahudi.

"Pembatalan itu disebabkan aduan daripada beberapa pihak dari universiti yang tersinggung dengan apa saya tulis di Facebook.

"Apa yang saya tulis mengenai Israel dan Zionis adalah berdasarkan apa saya lihat sama ada menerusi program History, Discovery atau NatGeo yang ditayangkan di Malaysia.

"Saya bukan sahaja menyentuh mengenai Yahudi sahaja tetapi turut membincangkan terhadap Timur Tengah dan pemimpin Islam di dalam Facebook," katanya.

Mansor memberitahu dia tetap berkunjung ke Amerika walaupun sudah diberitahu mengenai pembatalan program itu pada 7 September lalu kerana sudah membeli tiket penerbangan.

Bagaimanapun kata Mansor, dia masih berharap pihak universiti itu memberinya ruang untuk membentangkan kertas kerjanya di sana.

Mansor Puteh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain