suria

Pekerja Belakang Tabir Perlu Tambah Ilmu

Profima akan menganjurkan anugerah buat kali ke-11 pada November depan.

AMPANG: Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (Profima) menyarankan pekerja di belakang tabir industri filem agar menambah ilmu dengan menghadiri bengkel latihan yang disediakan. 

Presidennya Kapten (K)  Khir Mohd Noor berkata, latihan tersebut bagi membolehkan mereka mendapatkan ilmu untuk menghasilkan kerja yang lebih berkualiti.  

"Pekerja belakang tabir perlu ada ilmu yang lebih meluas mengenai bidang yang mereka ceburi biarpun mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.  

"Apabila mereka masuk kelas latihan di akademik yang kami sediakan, mereka akan dapat sijil yang diiktiraf dan selepas itu boleh menghasilkan sebuah karya yang lebih berkualiti. 

"Sebab itu saya sarankan pada mereka untuk belajar lagi tentang industri filem kita," kata Khir kepada mStar Online. 

Khir ditemui pada majlis ramah mesra bersama media di Crew Planet Grill & Steamboat, Ampang Waterfront pada Isnin.

Khir Mohd. Noor

Ia diadakan bersempena Anugerah Profima yang akan berlangsung bulan November depan. 

Menurut Khir lagi, bengkel latihan tersebut diadakan enam kali setahun dan mereka boleh melihat segala maklumat terkini mengenainya menerusi laman sesawang serta laman sosial persatuan itu. 

Dalam pada itu, bercerita mengenai Anugerah Profima yang akan diadakan pada 6 November depan, Khir berkata tujuannya untuk mengejar populariti seperti beberapa acara anugerah yang lain. 

Majlis yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ini bagi mengiktirafkan hasil karya serta menghargai usaha yang mereka lakukan. 

"Saya berharap kerajaan dapat melihat kewujudan anugerah ini adalah salah satu langkah untuk mereka mewujudkan akta bagi pembayaran gaji pekerja belakang tabir seperti pekerja lain. Malah, pekerjaan mereka ini juga menyumbang kepada ekonomi negara," kata Khir. 

Anugerah ini sudah diadakan buat kali ke-11 dan sebanyak 63 kategori akan dipertandingkan antaranya Anugerah Jurusolek Terbaik,  Pengarah Terbaik dan Penataan Cahaya Terbaik. 

Pemenang akan membawa pulang trofi serta wang tunai yang belum diketahui berapa jumlahnya.

Profima, Khir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain