suria

'Berkampung' Di Hospital Uji Kesabaran Idzham Ismail

Idzham dan isteri, Siti Nur Abilah bersama puteri kesayangan mereka, Nur Sofea Inara.

TIADA apa yang dapat dilluahkan selain lafaz kesyukuran. Selepas lebih sebulan 'berkampung' di hospital, akhirnya bayi kepada pelakon Idzham Ismail yang menghidap komplikasi jantung dibenarkan pulang.

Idzham ketika dihubungi berkata, dia dan isteri, Siti Nur Abilah Shamsudin hanya mampu bersyukur kerana keadaan anaknya, Nur Sofea Inara semakin stabil selepas menjalani pembedahan injap utama jantung pada 19 Jun lalu.

"Tiada apa yang boleh saya ucapkan selain kalimah syukur kerana mengikut kata doktor, bayi saya semakin stabil dan tidak perlu membuat rawatan susulan secara kerap.

"Cuma untuk tempoh awal ini, Inara harus dipantau setiap tiga bulan dan seterusnya enam bulan, setahun sehinggalah keadaannya benar-benar pulih," ujarnya kepada mStar Online.

Menurut pelakon yang mula dikenali dengan watak Panjang menerusi drama bersiri Juvana ini lagi, anaknya yang lahir di Hospital Shah Alam pada 24 Mei lalu pada awalnya normal sama seperti bayi-bayi lain.

Idzham bersyukur kerana Inara sudah menunjukkan perkembangan positif.

Namun ketika doktor cuba menimbang berat, bayinya bertukar kebiru-biruan dan menjadi agak lemah.

"Pakar dari hospital Serdang mengesahkan Inara mempunyai komplikasi jantung yang dipanggil Transposition of Great Arteries (TGA).

"TGA ialah kecacatan jantung yang wujud sejak lahir (kongenital) terjadi dalam lapan dalam setiap 1,000 kelahiran," ujar Idzham.

Tambahnya lagi, tanda dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi-bayi ini berbeza antara satu sama lain mengikut kecacatan masing-masing.

"Pembedahan ke atas Inara berlangsung selama tujuh jam pada 19 Jun lalu dan ia berjaya dilakukan dengan sempurna oleh pakar bedah IJN.

"Alhamdulillah, keputusannya sangat positif dan cukup melegakan hati saya dan isteri," katanya yang hampir sebulan berulang-alik ke hospital sejak awal Ramadan lalu.

Malah katanya lagi, selama sebulan 'berkampung' di hospital, dia banyak belajar erti kesabaran yang sebenar.

"Biarpun raya kami hanya di hospital, saya gembira melihat perubahan positif Inara dari hari ke hari selain rasa bertambah kuat untuk berhadapan dengan situasi ini.

"Dan hari ini buat pertama kalinya bayi kami dibenarkan keluar dari hospital sejak dia dilahirkan," katanya sambil berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan puteri sulungnya itu.

Idzham Ismail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain