suria

Amar Baharin Kunci Mulut Hubungan Cinta, Bimbang Tak Kesampaian

Amar mengakui mula rapat dengan Amyra ketika berlakon dalam drama Suamiku Encik Sotong. - foto AZLINA ABDULLAH/The Star

KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Baharin memberitahu tindakannya tidak berterus-terang dan kunci mulut tentang status hubungannya dengan aktres Amyra Rosli berikutan bimbang ia tidak kesampaian.

Amar, 31, berkata, dia berbuat demikian kerana mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku sebelum tarikh sebenar perkahwinan mereka ditetapkan.

"Saya tidak mahu menjaja cerita tentang cinta kerana takut jika hubungan itu terputus perlu diberitahu kepada media juga.

"Saya ambil keputusan untuk dedahkan ia selepas tarikh perkahwinan sudah ditetapkan dan pasti," ujarnya kepada mStar Online.

Amar ditemui pada majlis sidang media khas Amar Baharin dan Amyra Rosli yang diadakan di Sunway Montana Club House, di sini, malam Isnin.

Pasangan ini mengumumkan untuk berkahwin pada 11 November depan dalam sebuah majlis yang akan diumumkan lokasinya.

Sementara, majlis pertunangan akan diadakan secara tertutup pada 22 Julai ini yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Amar dan Amyra mengumumkan majlis perkahwinan mereka dalam satu sidang media khas di sini, Isnin.

Dalam pada itu, bercerita tentang kronologi percintaan mereka, Amar berkata, dia mula jatuh cinta ketika mereka berlakon dalam drama Suamiku Encik Sotong kira-kira setahun lalu.

"Kami mula rapat apabila sering bersama iaitu ketika berlakon dalam drama Suamiku Encik Sotong. Selepas itu kami memang rapat dan selesa bersama sehingga saya beritahu ibunya untuk menghantar rombongan merisik.

"Secara jujur Amyra seorang wanita paling istimewa daripada ramai-ramai wanita yang saya kenal sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Amyra mengakui Amar merupakan lelaki yang memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya.

Katanya, pelakon Kerana Terpaksa Aku Relakan itu seorang yang matang dan serius dalam menjalinkan hubungan istimewa berkenaan.

"Ya, Amar memenuhi ciri-ciri lelaki idaman saya dan dia serius dalam membawa hubungan kami ini ke peringkat yang seterusnya," ujarnya.

Amar dan Amyra menyapa teman media yang hadir pada majlis pengumuman itu.

Ditanya tentang keputusannya untuk menamatkan zaman bujang dalam usia muda, Amyra berkata, kebanyakan ahli keluarganya berkahwin pada usia muda.

Tambahnya, apa yang penting ialah pandai dan matang untuk menguruskan suami dan rumah tangga yang dibina itu.

"Tiada masalah berkahwin dalam usia muda kerana ibu dan mak cik saya juga menamatkan zaman bujang pada umur yang muda.

"Apa yang penting kita pandai menjaga suami dengan baik," katanya.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan pada 12 November bagi belah perempuan, manakala 19 November bagi pihak lelaki.

Perkahwinan bersejarah pasangan selebriti ini akan disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro.

Artikel Lain