suria

Zara Zya Akur Ada Pihak Tidak Gemar Lakonannya

Zara Zya
PETALING JAYA:Pelakon Zara Zya sedar ada pihak tidak menyukai lakonannya termasuklah dalam drama baharu, Tuan Anas Mikail siaran Astro Ria.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 30, berkata, dia bersifat terbuka dengan sebarang kritikan terhadapnya dan mengambil kritikan sebagai pemangkin semangat untuk terus maju dalam kerjaya seninya itu.

"Itu biasa. Bukan semua orang suka kita. Tetapi setiap kerja yang diberi, saya buat yang terbaik.

"Sebelum ini pun, ada saja yang tidak sukakan lakonan saya. Saya sedar tentang perkara itu. Apa-apapun, saya percaya, dalam 80 peratus orang memuji, 20 peratus lagi adalah yang membenci," katanya kepada mStar Online.

Zara diminta mengulas laporan sebuah akhbar mingguan mengenai lakonan Zara Zya sebagai Ayu Maisarah yang dianggap terlalu berlebih-lebihan dan wataknya tidak dilihat semula jadi.

Drama Tuan Anas Mikail.

Malah Zara turut dikritik kerana terlalu kerap bermonolog dengan kamera sehingga menimbulkan rasa rimas penonton.

Sementara itu, Zara menjelaskan, dia faham ada yang tidak selesa mengenai lakonan bercakap dengan kamera lebih-lebih lagi ia sebuah drama berepisod.

Namun, konsep itu adalah biasa bagi produksi di negara luar, cuma ia kurang diaplikasikan di negara ini.

"Setiap lakonan dalam Tuan Anas Mikail, saya hanya mengikut kata pengarah iaitu Raja Ahmad Alauddin.

"Saya ada juga buat lakonan bercakap dengan kamera bagi telefilem Isteri Aku Bukan Tukang Masak dan ia diterima ramai. Mungkin drama ini berepisod, membuatkan penonton sedikit rimas. Mungkin orang tak biasa, saya tak pasti," ujarnya.

Dalam pada itu, drama Tuan Anas Mikail  memberi cabaran kepadanya lebih-lebih lagi ia perlu dilakonkan menggunakan dialek Utara.

"Susah sebenarnya nak berlakon drama ini, tetapi saya cuba jayakannya. Walaupun orang kritik lakonan saya, kiranya mereka tetap menonton drama ini.

"Bagaimanapun, saya tak pasti adakah drama ini sebenarnya diterima ataupun tidak," tuturnya.

Drama Tuan Anas Mikail yang turut dilakonkan oleh Aaron Aziz disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis di Astro Ria, pukul 10 malam.

Dalam drama itu Zara Zya memegang watak sebagai Ayu Maisarah.
Zara Zya, Tuan Anas Mikail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain