suria

Zizan Cari Jalan Paling Baik Jika Ada Tawaran Bersama Kamal Adli

Zizan akan mencari jalan terbaik sekiranya ditawarkan untuk bergandingan dengan Kamal Adli pada masa akan datang. Foto THE STAR/IZZRAFIQ ALIAS.

KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Razak akan mencari jalan terbaik sekiranya ditawarkan untuk bergandingan dengan Kamal Adli pada masa akan datang.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 31, berkata, ia bagi memastikan kedua-dua belah pihak berasa selesa selain tidak mendatangkan masalah kepada pihak produksi.

"Saya boleh berlakon bersama dia tetapi mungkin saya akan pilih jalan terbaik dan sesuai dengan keadaan serta keselesaan kedua-dua belah pihak.

"Ini bagi memastikan tidak menimbulkan masalah kepada pihak produksi," katanya ketika ditemui majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 2 di Restoran Haslam di sini, pada Jumaat lalu.

Zizan berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada dia boleh bekerjasama dengan pelakon Kamal Adli pada masa akan datang.

Barisan pelakon filem Abang Long Fadil 2.

Terdahulu, Kamal Adli dilaporkan telah digugurkan daripada filem tersebut bagi mengelakkan sebarang konflik ketika penggambaran berlangsung.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia enggan mengulas tentang keputusan tersebut dan menyerahkan isu tersebut kepada pihak produksi kerana yakin mereka mempunyai sebab tersendiri.

Sementara itu, pengarah Abang Long Fadil 2, Syafiq Yusof, 22, pula menafikan nama Kamal digugurkan sebaliknya pihak penerbit iaitu Skop Productions hanya mengekalkan nama Zizan sahaja untuk sekuel naskah tersebut.

"Saya jelaskan apa yang berlaku bukan kami gugurkan Kamal tetapi kami hanya kekalkan Zizan seorang sahaja dalam filem itu.

Syafiq Yusof. 

"Manakala pelakon-pelakon lain kesemuanya adalah pelakon baharu atau yang tidak pernah ada dalam filem pertama sebelum ini," ujarnya.

Filem itu turut dibintangi oleh Datuk AC Mizal, Wak Doyok, A. Galak, Tania Hudson dan Syamsul Yusof.

Abang Long Fadil 2 yang turut diterbitkan bersama Astro Show itu bakal memulakan penggambaran pada Ahad (hari ini) di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain