suria

Serangan Paris: 'Saya Dah Balik Malaysia' - Emma Maembong

Emma menjelaskan dirinya selamat daripada kejadian serangan di Paris kerana sudah pulang ke Malaysia sejak tiga hari lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong menjelaskan dia tidak terlibat sebagai mangsa dalam serangan dipercayai oleh pengganas di Paris pada Jumaat kerana baharu sahaja pulang dari negara itu tiga hari lalu.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 23, berkata, dia bersama adiknya, aktres Chacha serta kakak dan abang ipar iaitu Yaya Maembong dan Wan Raja pulang ke tanah air sejak Rabu lalu selepas seminggu bercuti di sana.

"Alhamdulillah, saya dan ahli keluarga lain selamat sahaja kerana kami sudah pulang sejak tiga hari lalu malah sekarang pun sudah mula kembali bekerja," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.

Emma berkata demikian selepas dunia dikejutkan dengan serangan pengganas yang berlaku di Paris, Perancis pada malam Jumaat.

Kira-kira 150 orang terbunuh dalam serangan di dewan konsert Bataclan dan tiga lelaki dipercayai pengganas yang melakukan serangan itu turut ditembak mati selepas polis menyerbu dewan itu.

Terdahulu, seramai 39 dilaporkan maut dalam beberapa siri tembakan di sekitar Paris.

Sementara itu, pelakon Wan Raja berkata, dia terkejut dengan berita berkenaan dan bersyukur kesemua mereka sudah meninggalkan lokasi tersebut lebih awal.

"Alhamdulillah, kami sudah balik dari bercuti. Kami ke sana pada 2 hingga 10 November untuk bercuti.

"Kami ke Paris sehari sahaja, selebihnya berada di London," ujarnya.

Artikel Lain