suria

Syatilla Melvin Bertudung Bukan Kerana Bakal Berkahwin

Syatilla Melvin ingin menjadi seorang muslimah lebih sempurna. Foto Ihsan Instagram SYATILLA MELVIN.

PETALING JAYA: Pelakon Syatilla Melvin menjelaskan keputusannya bertudung sejak dua minggu lalu bukan kerana sudah mempunyai perancangan untuk berumah tangga.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, sebaliknya berkata, penghijrahan itu atas kehendak diri sendiri selepas merasakan sudah sampai masanya berubah menjadi muslimah lebih sempurna.

"Saya tahu orang akan bertanya dan menganggap keputusan bertudung ini kerana ada perancangan untuk berkahwin, namun saya jelaskan di sini ia bukan sebab itu.

"Ia bukan atas desakan mana-mana pihak, niat itu datang dari hati saya ketika berada di kampung dua minggu lalu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Syatilla yang dikaitkan bercinta dengan Shaheizy Sam berkata, pelakon lelaki itu turut mengetahui tentang hal tersebut.

"Sam sudah tentulah tahu sebab saya sudah muat naik gambar di Instagram, dia okey sahaja.

"Tentang memasuki alam rumah tangga, saya memang sudah bersedia, namun jodoh sahaja belum sampai, saya masih berdoa dipercepatkan jodoh," ujarnya.

Syatilla percaya ada rezeki yang sudah ditentukan Allah selepas berhijab.

Sementara itu, ditanya lanjut tentang penghijrahan tersebut, Syatilla berkata, perkara itu terjadi ketika melihat dirinya di hadapan cermin.

Kata Syatilla, dia berasa dirinya mempunyai kekurangan dan tidak sempurna berbanding adik-adiknya yang kesemuanya sudah bertudung.

"Saya melihat diri saya di hadapan cermin dan ketika itu saya fikir seperti ada kekurangannya dan bila adik-adik saya masuk ke dalam bilik, saya lihat penampilan mereka sempurna dengan bertudung.

"Sejak itu saya mengambil tudung dan terus memakainya hingga hari ini, memang ketika itu ahli keluarga lain terperanjat dengan perubahan saya secara tiba-tiba itu," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang kerjaya, Syatilla berkata, dia mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran drama yang menginginkan penampilan lamanya.

Bagaimanapun, dia tidak bersedih dengan perkara itu kerana percaya dan yakin terhadap rezeki yang sudah ditentukan Allah kepadanya.

"Saya sedar bila bertudung lebih membataskan watak dalam drama, namun saya percaya pada rezeki daripada Allah, jika tidak di bidang lakonan mungkin ada pada sumber yang lain," ujarnya.
Syatilla Melvin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain