suria

Pembedahan Otak Ujian Terbesar Buat Nazim Othman

Nazim Othman. Foto HAZIQ
KUALA LUMPUR: Pelakon Nazim Othman menyifatkan ketumbuhan pada otak yang dialami sehingga memerlukan dia menjalani pembedahan besar pada Mac lepas adalah ujian paling berat yang dilalui setakat ini.

Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, 31, berkata, perkara itu membuatkan dia melihat keadaan sekeliling dengan pemikiran berbeza berbanding sebelum ini.

"Mengalami ketumbuhan di otak adalah ujian yang paling besar pernah saya lalui dan fasa tersebut membuatkan saya sedar banyak perkara.

"Saya mula menghargai apa yang berlaku di sekeliling saya selain tidak takut dengan sesiapun selain Dia - Allah S.W T.

"Pada masa sama, saya lebih reda dengan setiap ketentuan yang datang walaupun perkara yang dilalui tidak seperti yang dirancang," katanya.

Nazim ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk penjagaan kesihatan dan kecantikan jenama Himalaya di pusat beli-belah KLCC, di sini pada Jumaat.

Nazim mengalami ketumbuhan otak iaitu di antara bahagian mata kanan dan di atas hidung kanannya.

Nazim (tengah) pada majlis perlantikannya sebagai duta produk Himalaya.

Sementara itu, ditanya mengenai hasratnya sempena ulang tahun kelahirannya nya yang ke 31 pada 16 September ini, kata Nazim, dia berdoa agar kesihatannya menjadi lebih baik selain menantikan jodoh yang sesuai.

Nazim yang dikaitkan dengan aktres Bella Dally berkata, kali ini dia sudah pun bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami, cuma masih menantikan jodoh mengikut ketentuanNya.

"Nak ikutkan sampai di satu tahap, saya tidak mahu berkongsi apa-apa berkaitan Bella sebab jawapan yang diberi masih klise.

"Hati saya memang terbuka untuk ada keluarga sendiri dan saya sudah bersedia ke arah itu.  Kalau dia jodoh saya, Alhamdulillah. Kalau bukan ditakdirkan dengannya, saya reda.

"Lagipun susah nak cari wanita seperti dia, yang memahami perangai gila-gila saya," ujarnya.

Mengenai perlantikannya sebagai duta produk Himalaya, Nazim berperanan akan menyertai promosi jelajah di beberapa buah negeri dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, Nazim juga sibuk dengan penggambaran drama Akulah Balqis, untuk siaran TV3, arahan Erma Fatima.

Nazim Othman

Artikel Lain