suria

Pengarah Menangis Ketika Penggambaran 'Bravo Lima'

Yeop Hitler Zami
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Bravo Lima iaitu Yeop Hitler Zami menyifatkan karya filem yang dihasilkan itu benar-benar mencabar dan banyak memainkan emosinya sepanjang penggambaran dijalankan.

Yeop berkata, walaupun sekadar sebuah lakonan, namun dia dapat merasai perjuangan askar-askar negara yang sanggup berjuang menentang komunis demi menyelamatkan negara ketika itu.

"Ini adalah filem arahan saya yang paling mencabar kemampuan diri sebagai pengarah kerana ia mengenai perang menentang komunis di Malaysia di mana lebih 75 peratus daripada adegan-adegan yang dipaparkan menerusi Bravo Lima adalah aksi-aksi pertempuran di medan perang.

"Ia juga telah membuatkan emosi saya sedih dan sebak mengingati perjuangan askar-askar negara kita.

"Sehinggakan pada babak akhir, iaitu ketika Trooper Karim (lakonan Beto Kusyairy) memeluk keluarga rakan-rakan seperjuangannya, ia membuatkan hati saya sebak dan tidak sedar air mata sudah pun mengalir sampai ke dagu semasa penggambaran dijalankan," katanya kepada mStar Online.

Bravo Lima  merupakan sebuah filem aksi perang yang dibintangi oleh Beto (Trooper Karim), Remy Ishak (Leftenan Azri), Sashi Tharan (Koporal Morgan), Xavier Fong (Koporal Ah Chia) dan Frank Peterson (Sarjan Unya).

Berlatarkan tahun 1989, filem ini mengisahkan lima anggota komando Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) ditugaskan mengesan kedudukan gerila komunis yang merancang menguasai kedudukan strategik kawasan tengah Semenanjung Malaysia.

Malangnya perhubungan terputus kerana set komunikasi rosak. Tanpa bantuan pasukan tentera lain yang sepatutnya tiba, mereka terpaksa bertempur dengan hampir 200 anggota gerila komunis.

Filem bernilai RM4.5 juta itu turut mendapat sokongan dari Kementerian Pertahanan Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

Sementara itu, Yeop yang juga merupakan adik kepada pelawak Opie Zami itu berkata, dia berharap filem tersebut dapat memberi kesan buat penonton mengenang jasa dan pengorbanan parajurit negara.

"Saya harap penonton suka dengan Bravo Lima. Lagipun sudah lama industri kita tidak ada filem-filem genre seperti ini.

"Menonton filem ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan menghayati semangat perjuangan askar-askar kita pada waktu itu.

"Dalam pada itu, saya juga harus berterima kasih kepada para pelakon yang berjaya menghayati watak masing-masing dengan baik. Mereka menghidupkan lagi naskhah ini," ujarnya.
Bravo Lima, Yeop Hitler Zami

Artikel Berikut

Artikel Lain