suria

Pengarah Jawab Isu Pelakon Pegang Telefon Terbalik Dalam 'Cinta Ibadah'

Barisan pelakon telenovela Cinta Ibadah.

PETALING JAYA: Pengarah drama Mazri Mustafa menyangkal dakwaan kecuaiannya ketika mengarahkan drama bersiri Cinta Ibadah apabila babak memperlihatkan pelakon Raja Ilya memegang telefon bimbit terbalik disiarkan sehingga ia dikritik hebat oleh peminat.

Mazri, 43, berkata, episod yang menampilkan babak tersebut diarahkan oleh pengarah sinetron Indonesia, Shiddar Sheety yang hanya mengarahkan 20 episod terawal.

"Ia memang kecoh dan saya sedar ada pihak menyalahkan saya tetapi saya beritahu di sini bahawa saya hanya mula mengarahkan episod ke 21 hingga 130 dan kejadian itu bukan terjadi semasa arahan saya.

"Bagaimanapun saya yakin kesilapan itu bukanlah disengajakan dan pasti pengarah terlepas pandang," katanya kepada mStar Online.

Cinta Ibadah sedang ditayangkan di Astro Prima dan Astro Mustika setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 5 petang.

Adegan yang memperlihatkan Raja Ilya memegang telefon bimbit secara terbalik.

Dalam pada itu, Mazri mengakui insiden berkenaan banyak memberi hikmah kepada telenovela itu apabila rating menunjukkan peningkatan cukup memberangsangkan sejak ia menjadi viral.

"Semua perkara yang terjadi pasti ada hikmah tersendiri termasuk insiden berkenaan yang pada akhirnya memberi kesan kepada penonton untuk menyaksikan telenovela tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Mazri turut menegaskan penguguran pelakon Fattah Amin dalam siri berkenaan dan digantikan dengan Hisyam Hamid bukan kerana pelakon berusia 24 tahun itu tidak mampu berlakon dengan baik seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, pelakon itu mempunyai komitmen lain dan dia telah memaklumkan kepada produksi sebelum terlibat dalam siri itu lagi.

"Sebelum kita ambil Fattah, dia dah beritahu hanya boleh memberi komitmen sehingga waktu tertentu kerana sudah mempunyai komitmen lain dan sebab itu wataknya dimatikan dan digantikan dengan Hisyam.

"Isu dia tidak boleh berlakon tidak masuk akal kerana dalam siri ini bukan wataknya sahaja dimatikan tetapi ramai artis lain kerana masalah komitmen dan mengikut kesesuaian skrip," jelasnya.

Cinta Ibadah.

Artikel Lain