suria

Tiada Harapan Tinggi Kutipan 'Tanda Putera' – Shuhaimi Baba

Shuhaimi gembira dengan penerimaan penonton terhadap filem sejarah dan kenegaraan yang semakin meningkat.
Shuhaimi gembira dengan penerimaan penonton terhadap filem sejarah dan kenegaraan yang semakin meningkat.
Shuhaimi gembira dengan penerimaan penonton terhadap filem sejarah dan kenegaraan yang semakin meningkat.

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba tidak meletakkan penanda aras tinggi terhadap karya kontroversinya itu dan menjangkakan hanya mampu memperoleh kutipan RM1 juta menjelang tarikh akhir wajib tayang Rabu ini.

Beliau bagaimanapun berpuas hati filem itu berjaya mengutip RM900,000 setakat ini (sehingga Selasa) selain karya itu berjaya meningkatkan minat orang ramai terhadap filem tentang sejarah berbanding filem 1957 Hati Malaya yang hanya mengutip RM420,000 pada 2007.

"Apa yang lebih penting kini Tanda Putera telah berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai untuk pergi ke panggung dan menonton filem tentang sejarah negara.

"Jika dapat melepasi kutipan RM1 juta ia adalah satu kejayaan besar buat filem ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Filem Tanda Putera dibikin dengan belanja RM4.6 juta menerusi dana kerajaan.

Tambah Shuhaimi beliau berharap Syarat Wajib Tayang akan memberi ruang untuk terus menayangkan filem itu di pawagam walaupun sesi wajib tayang akan berakhir.

Dalam perkembangan sama, Shuhaimi memberitahu, ada pihak yang berjumpa dengannya untuk mengadakan tayangan di luar panggung melibatkan institusi pengajian tinggi dan juga pihak swasta lain.

Shuhaimi berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan permintaan berkenaan malah mengalu-alukan badan korporat dan persendirian untuk mengadakan tayangan khas di organisasi masing-masing.

"Setakat ini sudah ada 35 syarikat dan pihak dari universiti yang membuat permohonan itu dan saya amat berbesar hati ada pihak ingin mengadakan tayangan walaupun bukan di pawagam.

"Malah saya juga berbesar hati pelawaan pihak universiti dan kolej yang ingin mengkaji filem ini dari segi akademik," ujarnya.

Tanda Putera memaparkan kisah Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berusaha memulihkan negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun 1969.

Filem yang dihasilkan pada tahun 2011 itu bagaimanapun tidak diluluskan oleh jemaah Menteri yang membuat keputusan menangguhkan tayangannya kerana dikatakan terdapat adegan yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ia ditayangkan untuk tontonan umum pada 29 Ogos lalu.

Filem berkenaan dibarisi pelakon seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi.

Ia diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasinal (Finas) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain