suria

Semangat Michael Jackson Pada Konsert 'The Jacksons' Malam Khamis

The Jacksons
The Jacksons
The Jacksons

KUALA LUMPUR: Kumpulan adik-beradik legenda, The Jacksons berkata legasi muzik mendiang Michael Jackson akan ‘mengiringi’ persembahan mereka pada konsert The Jackson Unity Tour yang akan diadakan Stadium Negara di sini, malam Khamis.

Menurut anggotanya Marlon, ketiadaan Michael yang meninggal dunia pada tahun 2009 tidak dirasai kerana semangat bintang pop besar itu kekal menemani perjuangan mereka sehingga kini.

"Semangat dan legasi muzik Michael akan kekal bersama kami. Walaupun dia sudah tiada, kami masih merasai kewujudannya pada setiap persembahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert terbabit di Hotel Mandarin Oriental di sini, petang Selasa.

Konsert berdurasi satu jam setengah itu akan berlangsung pada pukul 8 malam.

Siri jelajah dunia itu turut disertai tiga lagi anggota The Jacksons iaitu Jackie, Tito dan Jermaine.

Selain mendiang Michael, kumpulan yang berasal dari Gary, Indiana, Amerika Syarikat itu turut disertai seorang lagi adik-beradik lelaki keluarga berkenaan iaitu Randy yang enggan menyertai siri jelajah terbabit.

Sementara itu Tito berkata, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Michael sudah tiada walaupun keinginan untuk beraksi bersama mendiang tidak pernah padam sehingga kini.

"Kami begitu merindui adik kami, Michael. Sudah tentu kami mahu dia beraksi pada siri jelajah ini tetapi kami perlu menerima hakikat dia sudah tiada.

"Legasi muzik dan semangatnya perlu diteruskan menerusi The Jacksons," jelasnya.

Jackie pula berkata, mereka akan mendedikasikan sebuah segmen khas kepada Michael pada konsert sulung kumpulan itu di negara ini.

"Kami akan tampilkan sebuah segmen khas untuk Michael menerusi rangkaian lagu dan paparan gambar-gambar lama.

"Ia bagaikan koleksi album gambar keluarga Jackson dan kembara kami sepanjang berkecimpung dalam muzik sejak era 60-an," terangnya.

Bagaimanapun, kata Jackie mereka belum memutuskan senarai lagu yang akan dipersembahkan itu sebagai kejutan kepada peminat pada malam konsert berkenaan.

Terbaru, kumpulan itu mengesahkan bakal memasuki studio bagi merakamkan lagu-lagu untuk album akan datang yang dijangka dipasarkan pada awal 2013.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1964 itu sudah menghasilkan 18 buah album studio dengan penjualan melebihi 100 juta unit di seluruh dunia.

Kali terakhir The Jacksons muncul bersama pada siri jelajah dunia adalah pada 1984 menerusi Victory Tour.

Majlis sidang media pada petang Selasa turut meraikan ulang tahun kelahiran Jermaine yang ke-58.

Konsert itu dibawakan oleh Offshore Entertainment Production.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain