suria

Konsert Terapi Hafiz Hamidun Sasar 2,000 Pengunjung

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi nasyid Hafiz Hamidun bakal mengadakan konsert terapi gara-gara kejayaan album terbarunya berjudul Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang terjual melebihi 60,000 unit sejak dipasarkan hujung tahun lalu.

Hafiz, 28, berkata, dia memberanikan diri melabur RM150,000 menerusi syarikatnya Arteffects International setelah yakin dengan pembaharuan terhadap muzik yang ditampilkan dalam usaha memberi terapi kepada orang ramai.

"Alhamdulillah ternyata album zikir berkonsepkan muzik terapi berjaya menarik minat orang ramai. Sebelum ini saya sering di undang menyampaikan zikir.

"Bagi yang dah biasa mendengar zikir-zikir yang dimuatkan dalam album ini, saya akan mempersembahkan kelainan muzik yang berbeza pada konsert itu nanti terutamanya daripada segi susunan muzik dan gaya persembahan vokal.

"Tetapi ini bukannya konsert nasyid, ia hanya sebuah konsert hiburan yang menyampaikan zikir-zikir daripada album saya itu," katanya.

Konsert tersebut bakal berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, di sini pada 14 November depan bermula pukul 8 malam.

Ia turut dianjurkan dengan kerjasama Al-Safwa Travel & Tours Sdn Bhd.

Tambah bekas ahli kumpulan UNIC ini, bagi memantapkan lagi persembahan, konsert itu turut menampilkan pengacara Halaqah (TV Al-Hijrah) iaitu Ahmad Noor Sulaiman dan seorang tetamu istimewa yang dibawakan khas dari Yaman.

"Dalam pada itu saya juga akan menggabungkan tiga elemen penting dalam persembahan iaitu dengar, lihat dan rasa di samping penggunaan lampu 'spotlight' mengikut mood zikir yang disampaikan itu.

"Malah saya turut menampilkan pemuzik orkestra pada konsert itu. Harap-harap ia berjaya Insya-Allah," ujarnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Al Safwa Sdn Bhd, Marhaini Yusoff berkata, keyakinan pihaknya untuk menjadi penganjur bersama konsert itu selepas melihat kepada kejayaan program serupa yang pernah dijalankan sebelum ini.

Malah katanya, elemen terapi dalam muzik yang ditampilkan juga adalah sesuatu yang baru dan ia wajar diberi pendedahan dalam usaha menarik pelbagai golongan untuk mendekati Islam dalam bentuk berbeza.

Bagi yang berminat, tiket yang berharga RM125, RM100, RM75 dan RM50 boleh dibeli dengan melayari www.airasiaredtix.com atau e-mel ke alamat [email protected].

Maklumat mengenai tiket konsert boleh hubungi talian 012-2251297 atau 03-77271297.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain