suria

Konsert Rock MRF2012 Tidak Terjejas Kerana Festival Rockaway

Malaysia Rock Fest 2012 (MRF2012) bakal berlangsung pada 20 Oktober depan. Foto LOW LAY PHON
Malaysia Rock Fest 2012 (MRF2012) bakal berlangsung pada 20 Oktober depan. Foto LOW LAY PHON
Malaysia Rock Fest 2012 (MRF2012) bakal berlangsung pada 20 Oktober depan. Foto LOW LAY PHON

PETALING JAYA: Konsert Malaysia Rock Fest 2012 (MRF2012) yang akan diadakan pada 20 Oktober depan tidak akan terjejas walaupun ia bertembung dengan acara serupa iaitu Festival Rockaway membabitkan kumpulan indie di Sepang, dekat sini.

Penganjur MRF2012, yang dikenali sebagai Bombay berkata, pihaknya yakin ia satu persaingan yang sihat dan pada masa sama menunjukkan industri hiburan tanah air semakin meriah dengan pelbagai anjuran konsert.

"Isu terdapat penganjuran konsert pada hari yang sama bukanlah satu masalah besar. Kami menganggap ia satu saingan yang sihat.

"Lagipun lebih daripada 100,000 peminat rock terdapat di negara ini dan mereka diberi pilihan sama ada mahu ke konsert itu (Rockaway) atau MRF2012.

"Malah kedua-dua konsert ini mempunyai barisan penyanyi yang berlainan dan sudah tentu peminat-peminatnya juga berbeza," katanya pada sidang akhbar kolaborasi lima kumpulan rock legenda dalam MRF2012 di Bukit Kiara Equestrian Park, dekat sini, Khamis.

Tambah Bombay, konsert yang bermula dari pukul 4 petang hingga 12 tengah malam itu akan diadakan di Bukit Kiara Equestrian Park yang turut menyelitkan beberapa acara lain bagi membolehkan penonton menunggu acara berkenaan sehingga tamat.

MRF2012 yang diadakan bersempena Grand Prix Motosikal (Moto GP 2012) itu turut mendapat kerjasama daripada Red On Black Sdn Bhd.

Barisan lima kumpulan rock legenda yang akan membuat persembahan iaitu Wings, XPDC, May, Rusty Blade dan Lefthanded. Mereka dijangka mahu mengimbas semula kenangan zaman kegemilangan pada era 'Battle of The bands' dengan bersatu menerusi MRF2012.

Lebih menarik lagi konsert ini juga merupakan kemunculan semula kumpulan Rusty Blade dan Lefthanded selepas 20 tahun tidak bergabung dalam sebuah konsert berskala besar seperti ini.

Malah terdapat segmen khas yang akan menampilkan persembahan gitaris terbaik seperti Man Kidal, Joe (Wings), Izo, Abu, dan Khalid Mobin manakala segmen persembahan dram menampilkan Black, Ezan, Lola, Man Dayak dan Man.

Di samping konsert, bengkel muzik oleh pemuzik-pemuzik handalan, jualan barang-barang cenderahati juga akan diadakan.

Tiket berharga RM88 boleh didapati menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 dan 019-2111600. Ia juga boleh didapati di semua cawangan Rock Corner dan Tbreak Cafe.

Artikel Berikut

Artikel Lain