suria

Azhar Tidak Mahu Dikenali Kerana Berwajah 'Boyish'

Azhar.
Azhar.
Azhar.

PETALING JAYA: Juara Bintang Idola 2011, Mohd Azhar Osman atau Azhar memberitahu tidak mahu dikenali hanya kerana berwajah "boyish" sebaliknya ingin dipandang disebabkan bakat yang dimiliki.

Azhar berkata, dia tidak pernah melihat faktor rupa paras sebagai pengukur kejayaannya dalam bidang nyanyian tetapi yakin peminat dan penggemar muzik tempatan sudah bijak untuk membuat penilaian.

"Saya masuk ke dalam dunia hiburan ini menerusi sebuah pertandingan yang tidak menggunakan sebarang undian daripada penonton sebaliknya dinilai oleh juri profesional.

"Dari situ saya yakin tidak dinilai hanya kerana mempunyai wajah comel tetapi bakat," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun katanya, dia sudah bersedia dengan sebarang komen dan pandangan masyarakat terhadapnya selepas ini jika ada yang mengatakan dia hanya bersandarkan kepada rupa paras.

Atas dasar itu juga katanya, dia perlu bekerja lebih kuat bagi memastikan bakatnya lebih menonjol berbanding perkara lain tentang dirinya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kerjaya nyanyiannya, Azhar memberitahu dia sedang dalam proses menyiapkan single pertama ciptaan Edry Abdul Halim.

Katanya lagu yang berkonsepkan pop balada itu dijangka akan siap dalam masa terdekat namun menjelaskan ia masih belum mempunyai tajuk.

"Saya gementar ketika pertama kali menjejakkan kaki ke dalam studio bersama Edry untuk proses rakaman lagu tersebut. Bagaimanapun dia sebenarnya adalah seorang yang peramah dan lucu.

"Malah dia juga adalah seorang komposer yang bijak dan mempunyai banyak idea dalam menghasilkan sesuatu," ujarnya.

Azhar kini bernaung di bawah label KRU Records sejurus selepas memenangi pertandingan Bintang Idola 2011 yang ketika itu Edry adalah salah seorang juri.

Sementara itu, Azhar berkata dia bakal mengadakan persembahan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) di Arena of Stars, Genting Highlands pada 8 April depan.

Menurutnya, dia akan menyampaikan lagu dendangan daripada Anuar Zain berjudul Keabadian Cinta secara medley bersama-sama dua lagi artis lain iaitu Bob AF dan Ziana Zain.

"Saya sangat teruja dengan persembahan tersebut kerana ia boleh dikatakan sebagai persembahan pertama saya yang paling besar setakat ini.

"Tambahan pula bakal berkongsi pentas bersama artis kegemaran saya iaitu Bob AF," ujarnya.

Katanya pemilihan lagu itu dibuat sepenuhnya oleh Pengarah Muzik terkenal iaitu Datuk Ramli MS dan memberitahu dirinya sedang giat menjalani latihan bagi memantapkan persembahan pada malam itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain